Zetrix AI kemuka cadangan kepada kerajaan selesaikan tunggakan hasil kutipan JPJ

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI kemuka cadangan kepada kerajaan selesaikan tunggakan hasil kutipan JPJ Image from: Zetrix AI kemuka cadangan kepada kerajaan selesaikan tunggakan hasil kutipan JPJ amree06/10/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt — Zetrix AI Berhad sudah mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan bagi menangani tunggakan hasil kutipan kerajaan, susulan penggantungan sementara perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkuat kuasa 5 Oktober 2026.

 

Kumpulan itu berkata cadangan berkenaan kini dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan, dengan keutamaan segera adalah menyelesaikan obligasi berkenaan dan berusaha memulihkan perkhidmatan JPJ yang terjejas, tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan.

 

Zetrix AI, yang menyediakan perkhidmatan JPJ sejak 2000 berkata, pihaknya amat kesal dengan kesulitan timbul kepada pelanggan dan orang awam untuk datang berurusan susulan penggantungan sementara perkhidmatan tersebut.

 

“Sebagai penyedia perkhidmatan JPJ sejak 2000, kami memahami kepentingan memastikan perkhidmatan penting ini agar kekal boleh diakses, dipercayai dan mudah untuk orang awam sendiri,” menurut syarikat berkenaan dalam kenyataan.

 

Isu itu timbul selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan, My EG Sdn dan Zetrix AI, di bawah Kumpulan MYEG, gagal menyalurkan kira-kira RM314 juta hasil kutipan kerajaan kepada pihak kerajaan sejak 19 Mei 2026.

 

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, jumlah berkenaan membabitkan hasil kutipan bagi perkhidmatan JPJ yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan, dengan isu tersebut menjadi antara punca tindakan terhadap operasi perkhidmatan berkaitan.

 

Artikel berkaitan: MYEG gagal salur RM314 juta hasil kutipan kerajaan sejak 19 Mei 2026 - Anthony Loke

 

Susulan itu, penggantungan perkhidmatan JPJ oleh Zetrix AI pada 5 Oktober 2026 menjejaskan akses orang awam kepada perkhidmatan yang disediakan melalui syarikat berkenaan, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap penyelesaian tunggakan tersebut.

 

Bagaimanapun, Zetrix AI menegaskan pihaknya mengiktiraf tanggungjawab kepada pelanggan serta komited untuk memenuhi obligasinya kepada kerajaan.

 

Menurut syarikat itu, pelanggan yang sudah mengakses perkhidmatan JPJ terjejas sebelum penggantungan pada 5 Oktober 2026 tidak perlu bimbang kerana transaksi mereka telah diproses dan diselesaikan sewajarnya.

 

Pada masa sama, pihaknya menghargai kesabaran dan kefahaman pelanggan sepanjang tempoh berkenaan, selain akan memberikan perkembangan lanjut apabila maklumat yang disahkan tersedia.

 

Zetrix AI, dahulunya dikenali sebagai MY EG Services Berhad, merupakan syarikat teknologi yang beroperasi sejak 2000 sebagai antara perintis penyedia perkhidmatan kerajaan secara elektronik di Malaysia. 

 

Kumpulan itu kini memberi tumpuan kepada teknologi blockchain, kecerdasan buatan (AI), Web3 dan automasi, untuk menyokong transaksi rentas sempadan, identiti digital dan rumusan automasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved