Zetrix berdepan risiko sukar langsaikan tunggakan RM314 juta - MBSB Research

Business & Finance
6 Oct 2026 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix berdepan risiko sukar langsaikan tunggakan RM314 juta - MBSB Research Image from: Zetrix berdepan risiko sukar langsaikan tunggakan RM314 juta - MBSB Research hamden06/10/2026 - 09:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt - MBSB Research tidak menolak kemungkinan Zetrix AI Bhd akan berdepan kesukaran melangsaikan tunggakan kutipan hasil Kerajaan berjumlah RM314 juta dalam tempoh terdekat jika kedudukan kewangan semasa diambil kira. 

 

Firma penyelidika itu berkata, berdasarkan keputusan 2QFY26, tunai dan setara tunai kumpulan berjumlah RM541.6 juta, manakala pinjaman dan pinjaman jangka pendek mencecah RM853.1 juta.

 

“Justeru, kami tidak menolak kemungkinan Zetrix mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat pembayaran dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kebimbangan itu timbul susulan keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung perkhidmatan melalui My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI yang bertindak sebagai ejen kutipan hasil JPJ, berkuat kuasa 5 Oktober 2026.

 

Penggantungan tersebut dibuat selepas kumpulan gagal memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil Kerajaan dalam tempoh ditetapkan, dengan jumlah tunggakan yang terakru dari 19 Mei 2026 hingga 30 September 2026 berjumlah RM314 juta.

 

MOT turut menyatakan bahawa kumpulan tersebut perlu melangsaikan keseluruhan tunggakan sebelum perbincangan mengenai kemungkinan penyambungan semula perkhidmatan JPJ boleh dimulakan.

 

Status 'Di bawah semakan'

Disebabkan kesinambungan perniagaan JPJ Zetrix kini tidak menentu, MBSB Research telah menetapkan syor dan harga sasaran saham berkenaan diletakkan di bawah semakan (UNDER REVIEW).

 

“Setelah kewajipan tersebut dipenuhi, penyambungan semula peranan sebagai ejen kutipan JPJ juga tidak dijamin,” katanya.

 

MOT dan JPJ sebelum ini mengambil beberapa langkah untuk mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak Mei 2026 bersama semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan.

 

Selain itu, sebanyak 35 notis peringatan telah dikeluarkan dan tarikh akhir penyelesaian tunggakan turut ditetapkan.

 

Dalam pada itu, MOT menegaskan bahawa penggantungan berkenaan tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kerana pengguna masih boleh mendapatkan perkhidmatan melalui aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kiosk JPJ serta saluran lain yang ditetapkan.

 

MBSB Research berkata, perkembangan itu meningkatkan risiko bahawa peranan Zetrix sebagai ejen kutipan JPJ akan berkurangan dari semasa ke semasa, terutama dengan MOT turut menggalakkan penggunaan aplikasi MyJPJ.

 

“Ini bermakna terdapat risiko bahawa peranan ejen kutipan mungkin berkurangan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Tambah firma itu, sekiranya perkhidmatan JPJ berjaya disambung semula, terdapat kemungkinan perubahan terhadap prosedur operasi standard (SOP), termasuk keperluan supaya hasil Kerajaan dikreditkan serta-merta bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

 

Zetrix sebelum ini mengumumkan bahawa kumpulan itu telah mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan tunggakan remitan dan sedang berusaha memulihkan perkhidmatan yang terjejas, tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan.

 

MARC Rating semak status kewangan

MBSB Research berkata, kebimbangan terhadap kedudukan kewangan dan tadbir urus kumpulan turut diperkukuh dengan keputusan MARC Ratings menyemak status MARCWatch Zetrix AI kepada “negatif” daripada “berkembang”.

 

MARC menyatakan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung ketelusan, tadbir urus dan kekurangan maklumat material yang diperlukan untuk menilai profil kredit kumpulan.

 

Agensi penarafan itu berkata maklumat penting masih belum diterima walaupun permintaan telah dibuat berulang kali, termasuk butiran mengenai peningkatan ketara dalam pinjaman serta peruntukan dan penggunaan perbelanjaan pembangunan yang besar.

 

Kebimbangan MARC turut dipengaruhi perkembangan buruk termasuk peletakan jawatan juruaudit luar syarikat, tunggakan pembayaran yang dilaporkan serta penggantungan beberapa aktiviti operasi.

 

Menurut MARC, status MARCWatch Negatif mencerminkan peningkatan kemungkinan penurunan penarafan, manakala penarafan itu berpotensi digantung dan seterusnya ditarik balik sekiranya maklumat yang diperlukan terus tidak tersedia atau tidak mencukupi untuk menyokong penilaian kredit yang boleh dipercayai.

 

Oleh itu MBSB Research mengekalkan unjuran pendapatan tidak berubah buat masa ini sementara menunggu perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut.

 

Pada masa ini, hasil bukan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok menyumbang kira-kira 40% daripada jumlah hasil kumpulan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved