Zetrix tidak pernah kutip caruman pekerja, hanya promosi Lindung Kendiri, Lindung Kasih - Perkeso

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 2:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix tidak pernah kutip caruman pekerja, hanya promosi Lindung Kendiri, Lindung Kasih - Perkeso Image from: Zetrix tidak pernah kutip caruman pekerja, hanya promosi Lindung Kendiri, Lindung Kasih - Perkeso johardy05/10/2026 - 14:18 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt - Zetrix AI Berhad tidak pernah mengutip caruman majikan atau pekerja bagi pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dengan peranannya terhad kepada mempromosikan dua skim keselamatan sosial sukarela, kata agensi itu.

 

Perkeso berkata, Zetrix hanya dilantik untuk menjalankan aktiviti pemasaran, promosi dan libat urus bagi Lindung Kendiri untuk golongan bekerja sendiri serta Lindung Kasih untuk suri rumah.

 

Agensi itu berkata, Zetrix tidak terlibat dalam pengurusan kutipan caruman di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Justeru, isu caruman tertunggak, kelewatan penyaluran atau wang caruman yang dipegang syarikat itu tidak timbul.

 

“Zetrix atau mana-mana pihak ketiga sama sekali tidak terlibat dalam pengurusan kutipan caruman majikan atau pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” kata Perkeso dalam kenyataan hari ini.

 

Penjelasan itu dibuat ketika Zetrix berdepan perhatian susulan isu berasingan melibatkan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta yang dikaitkan dengan My E.G. Sdn Bhd dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).



ARTIKEL BERKAITAN: Zetrix AI dilantik sebagai ejen Perkeso uruskan skim pekerja sendiri, suri rumah 17 April 2026
 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, My E.G. dan Zetrix, kedua-duanya di bawah kumpulan MYEG, gagal menyalurkan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta yang dikutip antara 19 Mei hingga 30 September 2026 ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.

 

Isu berasingan RM314 juta

Loke berkata, RM314 juta itu merupakan hasil kerajaan yang telah dikutip tetapi belum disalurkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan, sambil menambah bahawa kementerian dan JPJ akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan jumlah tertunggak.

 

JPJ menggantung My E.G. dan Zetrix sebagai ejen pemungut berkuat kuasa hari ini susulan isu tersebut.

 

Loke turut menolak dakwaan bahawa kementerian dan JPJ gagal mengambil tindakan berhubung perkara itu selama tiga tahun dengan menjelaskan tunggakan berkenaan hanya bermula pada 19 Mei tahun ini.

 

Beliau berkata, penggantungan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan JPJ kerana transaksi masih boleh dilakukan melalui saluran alternatif termasuk aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kaunter dan kiosk.

 

Perkeso jelaskan proses pelantikan ejen

Dalam menjelaskan peranan Zetrix, Perkeso berkata, pelantikan ejen untuk mempromosikan skim keselamatan sosial sukarela tertakluk kepada beberapa syarat khusus termasuk aspek operasi, sistem dan pematuhan.

 

Bakal ejen juga perlu melalui proses usaha wajar yang merangkumi semakan latar belakang korporat, kes mahkamah dan isu perundangan lain sebelum dilantik.

 

“Sekiranya seseorang ejen tidak menjalankan sebarang perniagaan atau aktiviti pada tahun pertama pelantikan, semakan terhadap status ejen tersebut akan dilakukan pada tahun kedua,” katanya.

 

“Pelantikan boleh ditamatkan sekiranya ejen terus tidak aktif, seperti yang pernah dilakukan Perkeso terhadap ejen-ejen lain atas sebab yang sama.”

 

MyEG ditubuhkan pada 2000 dan dilantik menyediakan perkhidmatan kerajaan dalam talian termasuk pembaharuan cukai jalan kenderaan dan insurans menerusi platformnya dengan kerjasama JPJ.

 

Syarikat itu dijenamakan semula sebagai Zetrix pada Julai 2025 sebagai sebahagian daripada peralihannya daripada penyedia perkhidmatan e-kerajaan kepada kumpulan infrastruktur teknologi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved