
PETALING JAYA – Penyanyi Misha Omar menyifatkan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai insan penuh kelembutan, kasih sayang serta perikemanusiaan, malah tidak pernah mewujudkan jurang ketika mereka bertemu.
Ujar Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 45, peluang membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah ketika remaja dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir II di Istana Budaya pada 2011 memberi pengalaman cukup bermakna buat dirinya.
“Tun seorang sangat baik, seperti seorang ‘angel’. Cara beliau melayan saya ketika itu, masih muda dan baru dalam industri, begitu baik. Tidak terasa wujud jurang besar walaupun kedudukan beliau sangat tinggi.
“Beliau ialah First Lady, tetapi ketika saya bertemu dengannya, suasananya begitu selesa dan tenang. Beliau tidak pernah membuatkan saya berasa kekok atau takut,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Break itu, sifat merendah diri Allahyarhamah membuatkannya berasa selesa untuk berinteraksi walaupun ketika itu dirinya masih baharu dalam dunia seni.
“Ketika saya bertemu beliau, saya baru sahaja menjadi penyanyi dan pelakon. Namun, beliau tidak menciptakan jurang sehingga membuatkan kita berasa kekok atau takut.
“Saya sangat berbangga pernah mempunyai detik seperti itu bersama beliau. Bagi saya, beliau penuh kelembutan, kasih sayang dan perikemanusiaan,” ujarnya pada sesi temu bual showcase Misha Omar Aku & Lelaki, di sini, hari ini.
Paling penting kata ibu dua anak itu, Allahyarhamah sempat menitipkan nasihat berkaitan hubungan serta keharmonian dalam berumah tangga.
“Ketika itu, saya sebenarnya sedang mencari nasihat tentang soal perhubungan. Allahyarhamah pernah berpesan kepada saya, ‘Walau siapa pun kamu, kamu perlu menghormati suami kamu.’
“Beliau juga berpesan supaya kita berjalan di belakang dan di samping suami. Sederhana sahaja nasihat itu, tetapi sangat bermakna dan kekal saya ingat sehingga hari ini,” ujarnya.
Misha juga mengakui pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam, terutama buat generasi membesar dalam era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah.
“Saya rasa kita umpama anak didik mereka kerana lama berada di bawah naungan mereka. Kita membesar dalam era itu.
“Kita melihat Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah bukan semata-mata sebagai pemimpin, sebaliknya seperti seorang ayah dan ibu. Semalam bagi saya antara hari paling panjang dalam siri hari menyedihkan dalam hidup,” ungkapnya.
Misha turut menyimpan kenangan manis terhadap pasangan tersebut, terutama sikap mereka suka bergurau sehingga membuatkan orang di sekeliling berasa lebih dekat.
“Saya sangat berbesar hati pernah mempunyai pengalaman dan detik peribadi bersama beliau. Saya masih ingat karakter mereka berdua, tertib tetapi suka bergurau.
“Ketika bertemu Tun dalam persembahan muzikal itu, saya minta untuk bergambar dengannya. Arwah bergurau dengan berkata, ‘Boleh, RM5.’ Mereka memang suka bergurau dan tidak mahu kita berasa kekok atau merasakan wujud jurang antara rakyat dengan pembesar,” tuturnya.
Terdahulu, Tun Dr. Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi semalam pada usia 100 tahun.
Jenazah Allahyarhamah akan disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, bersebelahan pusara Tun Endon Mahmood. – KOSMO! ONLINE.
The post Saya bangga pernah punya detik bersama beliau – Misha Omar appeared first on Kosmo Online.






