
TAHNIAH diucapkan buat penyanyi terkenal Ziana Zain baru sahaja menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Ziana anak nama penuhnya Siti Roziana Zain antara penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Memetik Melaka Hari Ini, Ziana antara 1,328 individu yang menerima darjah kebesaran dalam istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Penyanyi Madah Berhelah dan Anggapanmu itu terdahulu pernah menjawab pertanyaan media dan mengakui tidak terfikir langsung soal penganugerahan darjah kebesaran atau pingat membawa gelaran Datuk.
"Bagi saya, kita kena ada kelas tersendiri. Biarlah dia (pengiktirafan) datang kepada kita, bukan kita kejar," katanya kepada Berita Harian pada Julai lalu.
Artikel berkaitan:
Ketika itu, Ziana berkata belum ada mana-mana pihak menghubungi dan berbincang mengenai pengurniaan darjah kebesaran terbabit.
"Setakat ini, memang tiada siapa-siapa datang jumpa saya. Macam kawam-kawan yang dapat gelaran sebelum ini, mereka kena isi borang dan sebagainya.
"Apa yang lebih penting bagi saya adalah masih kekal sebagai penyanyi dan dapat hiburkan peminat," katanya.
Sekadar info, Ziana bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air. Dilahirkan di Kampung Sempang, Merlimau, Melaka, Ziana terdahulu muncul sebagai Juara Bintang Selangor pada tahun 1984 dan kemudian melahirkan album sulungnya Madah Berhelah pada tahun 1991.
Ziana pernah menerima darjah kebesaran Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) oleh Sultan Selangor pada tahun 1996.
Sumber: Instagram





