
PETALING JAYA – Pelakon Zila Bakarin mendedahkan dirinya menjadi sasaran kecaman netizen yang menghina fizikalnya hanya kerana bersuara menyuarakan rasa simpati terhadap nasib anak-anak Syida Melvin yang terpaksa menyaksikan pergaduhan ibu bapa mereka.
Menurut Zila atau nama sebenarnya, Rosmawati Bakarin, 51, antara hinaan yang dilemparkan kepadanya termasuklah memiliki bibir besar dan wajah ‘palsu’.
“Ramai betul hina fizikal saya. Bibir besar, muka ‘fake’. Hanya kerana saya kasihankan dan pertahankan budak-budak.
“Ya, saya tak cantik. Okey, saya terima hinaan itu. Terima kasih semua yang menghina,” tulisnya menerusi Threads.
Pemenang tempat ketiga program Kilauan Emas Selebriti itu turut meminta netizen agar berhenti menggelarnya sebagai ‘Ratu Threads’ atau ‘Queen Threads’ kerana kurang selesa dengan panggilan tersebut.
“Berhenti panggil Ratu Threads atau Queen Threads. Saya geli,” tulisnya lagi.
Hantaran tersebut turut mendapat perhatian rakan selebriti, termasuk pelakon Yuna Rahim yang tampil memberikan kata-kata semangat kepada Zila.
“Kak Zila, jangan biarkan kata-kata orang buat Kak Zila hilang keyakinan. Kamu sangat cantik dengan cara kamu sendiri, luar dan dalam. Terus kuat, jadi diri sendiri. Yang penting Allah tahu hati Kak Zila,” tulisnya.
Terdahulu, Zila meluahkan rasa kesal selepas melihat video pergaduhan antara Syida Melvin dan bekas suaminya yang berlaku di hadapan anak-anak mereka.
Teguran Zila itu turut mendapat perhatian Syida dan kakaknya, Syatilla Melvin, yang dilihat memberikan respons terhadap kenyataan pelakon berkenaan.
Bagaimanapun, Zila difahamkan sudah memadamkan hantaran asal tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Zila Bakarin dihina fizikal gara-gara pertahan anak Syida Melvin appeared first on Kosmo Online.




