
PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan, Syida Melvin sudah hilang sabar terhadap bekas suaminya, Syafiq Azim selepas lapan bulan terpaksa keluar dari kediaman sendiri demi melindungi diri serta anak-anak.
Syida atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin menegaskan, tindakannya keluar dari rumah sebelum ini dibuat akibat penderaan emosi berlarutan yang dikatakan dilakukan Syafiq.
“Jika kalian melihat video yang tular hari ini, saya sudah sampai ke tahap batas kesabaran yang mana sudah tidak boleh beralah lagi dengannya. Sudah lapan bulan saya bersama anak-anak keluar dari rumah itu.
“Ya, saya keluar kerana mahu melindungi kesihatan mental dan fizikal saya, selain emosi dan pemikiran anak-anak.
“Mengapa? Kerana berlaku penderaan emosi, di mana caci maki dan hinaan sudah menjadi perkara biasa bagi dirinya, disebabkan itulah saya keluar dari rumah tersebut,” katanya dalam sebuah video.
Menurut Syida, dia mahu kembali menduduki rumah tersebut demi memudahkan urusan persekolahan anak-anaknya yang sebelum ini terganggu akibat perceraiannya.
“Saya keluar dari rumah itu sejak April lalu sehinggalah sekarang, terpaksa menumpang di kampung dan anak-anak tidak bersekolah.
“Saya hanya mengambil guru tuisyen peribadi untuk mereka. Hari ini 10 November, saya mahu masuk semula ke rumah itu kerana sudah tamat tempoh idah dan saya mempunyai hak terhadap rumah tersebut.
“Dia tidak berhenti ulang dakwaan bahawa rumah itu adalah harta sepencarian. Ya, tetapi tidak adakah hak untuk saya menumpang teduh di situ? Anak-anak mahu bersekolah, pakaian mereka bersepah di sana sini. Amat sukar bagi saya menumpang di rumah orang lain,” katanya lagi.
Undang-undang
Mengulas lanjut, Syida menjelaskan proses undang-undang termasuk melibatkan perintah mahkamah memakan masa terlalu lama sedangkan masa depan anak-anak tidak boleh dikorbankan.
“Peguam saya sudah menghantar empat hingga lima pucuk surat, namun dia langsung tidak peduli dan tetap berkeras mahu saya dapatkan perintah mahkamah.
“Proses itu mengambil masa antara enam hingga lapan bulan, terlalu lama sedangkan anak-anak perlu ke sekolah. Tolonglah, bagaimana lagi saya perlu berdepan dengan individu yang bersikap narsisistik sebegini?
“Saya keluar kerana dihina dan dicerca. Dia mencederakan diri sendiri seperti pecahkan meja, kemudian menuduh saya yang melakukannya. Kini bila saya mahu pulang, dia memutarbelitkan keadaan dan mempersoalkan mengapa saya keluar dahulu,” jelasnya.
Tambah Syida, Syafiq didakwa bertindak menukar keseluruhan kunci pintu kediaman sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kepulangannya.
“Saya sudah memaklumkan untuk kembali ke rumah pada 30 Ogos dan pihak peguam juga telah menghantar surat. Namun pada 21 Ogos lalu, dia mengupah tukang kunci untuk menukar semua tombol pintu rumah sehingga disedari oleh jiran.
“Bila keadaan ini berlaku, dia menuduh saya sengaja menularkan isu ini semata-mata mahu melancarkan produk baharu. Saya sudah buntu.
“Saya menumpang rumah kakak dan duduk di kampung selama empat bulan. Keadaan rumah itu amat kotor sehingga saya terpaksa mengupah pekerja pembersihan, namun lihatlah apa tindakannya sewaktu siaran langsung saya,” ujarnya.
Tegas Syida, dia sama sekali tidak menuntut pemilikan mutlak ke atas kediaman berkenaan, sebaliknya hanya memohon ruang berteduh yang selesa buat anak-anaknya.
“Mengapa saya yang perlu menyewa rumah lain sedangkan dia hanya tinggal sendirian? Dia memiliki banyak rumah, keluarganya berada dan mempunyai banyak aset, pergilah tinggal di sana.
“Berikan ruang kepada saya dan anak-anak untuk mendiami rumah tersebut. Saya tidak pernah mengatakan rumah itu milik saya seratus peratus,” jelasnya lagi.
Hari ini, Syida mencuri perhatian ramai terutama dalam TikTok apabila membuat siaran langsung sepanjang tempoh meminta Syafiq keluar dari kediaman tersebut.
Tidak berdiam diri, Syafiq juga beberapa kali tampil mempertahankan diri namun dalam masa sama dia juga melakukan perkara yang di luar jangkaan termasuk bergelak ketawa, santai menikmati makanan dan menyapu rumah.
Terdahulu, Syida dan Syafiq sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Syida dan Syafiq yang merupakan anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr. Maznah Hamid berkahwin pada 19 Januari 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post Dia pecahkan meja, tapi tuduh saya yang buat – Syida Melvin appeared first on Kosmo Online.




