1,000 hektar sawah terbiar diusahakan semula guna teknologi Pulau Pinang 

LocalTechnology
22 Aug 2026 • 1:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 1,000 hektar sawah terbiar diusahakan semula guna teknologi Pulau Pinang 

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 hektar sawah terbiar di Kota Marudu akan diusahakan semula bagi meningkatkan pengeluaran padi dan membantu Sabah mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus tahap sara diri (SSL) beras menjelang 2030.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Padi Beras Sabah (LPBS), Arise Consulting (Sabah) Sdn. Bhd. dan ABS Greentech Sdn. Bhd.

Menurut beliau, sebahagian sawah berkenaan terbiar sejak 10 tahun lalu, manakala kawasan lain tidak diusahakan sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun.

“Keadaan itu menjadi antara punca penurunan SSL beras Sabah apabila banyak tanah sawah ditinggalkan oleh generasi pertama, kedua dan ketiga,” katanya hari ini.

Jamawi berkata, syarikat terbabit yang berjaya melaksanakan penanaman padi di Seberang Perai, Pulau Pinang akan membawa teknologi dan kaedah baharu berkenaan untuk diaplikasikan di Sabah.

Katanya, pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan hasil padi selain membantu mengusahakan semula kawasan sawah yang terbiar.

“Sabah berusaha membawa kaedah baharu penanaman padi dari Pulau Pinang ke negeri ini supaya sawah terbiar dapat diusahakan semula,” katanya.

Beliau berkata, kekurangan penggunaan teknologi dan faktor kurangnya tarikan kepada golongan muda menyebabkan semakin ramai generasi baharu tidak lagi mengusahakan sawah.

Sehubungan itu, beliau berharap penerapan teknologi baharu dalam penanaman padi mampu menarik semula minat golongan muda untuk menceburi sektor berkenaan.

Menurut Jamawi, MoU berkenaan mempunyai tempoh 10 tahun dengan pembangunan tanah dilaksanakan menerusi konsep mini estet dan pengurusan lebih tersusun.

Katanya, syarikat terbabit akan menyewa tanah daripada pemilik sebelum bekerjasama dengan petani dan pemilik tanah untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

“Usaha ini turut akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kota Belud, Keningau, Ranau dan Papar,” katanya.-UTUSAN

The post 1,000 hektar sawah terbiar diusahakan semula guna teknologi Pulau Pinang  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved