
RANTAU PANJANG: Dentuman letupan bom di Selatan Thailand mencetuskan panik apabila gegarannya turut dirasai oleh lebih 1,000 penduduk di Rantau Panjang, di sini dan Pengkalan Kubor, Tumpat, kelmarin.
Rata-rata penduduk mendakwa berasakan gegaran kira-kira pukul 10 malam waktu Malaysia, malah ada yang menyifatkan dentuman itu cukup kuat sehingga menyebabkan rumah mereka bergegar.
Penduduk Kampung Tersang, Wan Rohaya Abdullah, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu bersama suami dan anak mereka sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Tiba-tiba bunyi dentuman yang sangat kuat sehingga rumah saya bergegar. Tiga kali berturut-turut letupan itu berlaku selang dua saat dan letupan ketiga selang dua minit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Wan Rohana berkata, dia sekeluarga menjadi panik namun keadaan kembali terkawal selepas tiada lagi bunyi letupan kedengaran.
Katanya, walaupun penduduk di kawasan sempadan Sungai Golok sudah biasa mendengar bunyi letupan dari Thailand, kejadian seumpama itu tetap menimbulkan kebimbangan.
“Risau kalau terkena peluru sesat atau bom tersasar ke kampung kami dan kediaman penduduk di pinggir Sungai Golok ini,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Lata, Syed Mohd. Kamarudin Syed Othman, 53, berkata, pada mulanya dia menyangka bunyi dentuman berkenaan adalah guruh berikutan kawasan ruamhnya baru sahaja reda hujan.
“Saya pada mulanya menyangka guruh di langit tetapi tidak lama kemudian kecoh dalam media sosial berlaku letupan bom di Thailand. Walaupun hanya sekali kedengaran tetapi dentuman itu sangat kuat sehingga rasa gegarannya,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian seumpama itu bukan kali pertama dirasai penduduk di kampung berkenaan, malah gegaran pada 2023 lebih kuat sehingga menyebabkan kediaman penduduk mengalami kerosakan.
Katanya, ketika itu sebuah stor mercun dan bunga api di Mundok, Thailand, meletup sehingga gegaran dirasai kuat di kawasan berkenaan.
Terdahulu, Selatan Thailand dilaporkan kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam, kelmarin.
Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sehingga pukul 12 tengah malam, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, Yala (18) dan Pattani (11). – UTUSAN
The post 1,000 penduduk Rantau Panjang, Pengkalan Kubor rasai gegaran appeared first on Utusan Malaysia.






