
NIBONG TEBAL - Seramai 1,700 peserta dari seluruh Pulau Pinang menyertai program World #QuranHour peringkat negeri 2026 yang berlangsung serentak di enam lokasi bagi menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Norlina Ahmad berkata, program tersebut melibatkan penyertaan 35 jabatan dan agensi termasuk institusi pendidikan pelbagai peringkat yang bekerjasama dalam menjayakan inisiatif pembudayaan al-Quran di negeri ini.
Menurutnya, kerjasama itu turut melibatkan Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan, Jabatan Pendidikan serta rangkaian Rumah Ngaji di Pulau Pinang.
“Program ini menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk sekolah yang bersama-sama menjayakan inisiatif bagi memperkukuh budaya membaca dan memahami al-Quran dalam masyarakat.
“Secara keseluruhan kita mensasarkan penyertaan kira-kira 1,700 peserta dari seluruh Pulau Pinang yang mengambil bahagian secara fizikal dan juga melalui penyertaan di beberapa lokasi lain,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan di sini pada Rabu.
World #QuranHour Pulau Pinang 2026 dirasmikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Beliau berkata, selain lokasi utama iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, program tersebut turut diadakan secara lintas langsung di lima lokasi terpilih bagi meluaskan penyertaan masyarakat.
"Antara lokasi yang terlibat ialah Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, Maahad Al-Masyhur Al-Islami, Penjara Pulau Pinang, Darul Hanan Ma’ib serta Sekolah Menengah Islam Al-Masriyah.
"Pendekatan lintas langsung menerusi laman Facebook PPAPP bagi memberi peluang kepada masyarakat mengikuti pengisian yang disediakan selain membolehkan lebih ramai masyarakat mengikuti program tersebut secara serentak di pelbagai lokasi.
"Ini sekali gus membolehkan capaian program menjadi lebih luas, bukan sahaja kepada peserta yang hadir tetapi kepada orang ramai yang menonton secara dalam talian,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan golongan belia turut diberi perhatian melalui penyertaan pelajar sekolah serta peserta dari beberapa institusi yang turut mengikuti program berkenaan.
Program World #QuranHour peringkat Pulau Pinang 2026 yang berlangsung telah menghimpunkan masyarakat Islam bagi menghayati Surah Al-Muzzammil pada 21 Ramadan 1447 Hijrah.
Program yang berlangsung pada jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu membawa tema 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia' dengan mengetengahkan Surah ke-73 sebagai panduan pembentukan peribadi dan masyarakat berteraskan al-Quran.
Majlis juga diserikan dengan sesi tadabbur Surah Al-Muzzammammil (20 ayat) yang dibaca secara bersama dan dipimpin oleh Pakar Tahsin al-Quran dan Hafazan yang juga penceramah stesen Radio Mutiara FM, Hafiz Azmir Hassim al-Hafiz.
World #QuranHour peringkat negeri ini dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang bersama Rakan Strategik Rumah Ngaji Negeri Pulau Pinang serta beberapa rakan kerjasama termasuk Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Zakat MAINPP dan agensi berkaitan.
WQH Kelantan di masjid pinggir bandar raih lebih 1,000 peserta
**media[3459717]**
KOTA BHARU – World #QuranHour (WQH) peringkat Kelantan yang berlangsung di lokasi utama Masjid As-Siddiqin Mukim Panchor di sini pada Rabu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, ahli persatuan serta jemaah sekitar.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK), Datuk Adnan Hashim berkata, pemilihan masjid di kawasan pinggir bandar pada tahun ini bertujuan mendekatkan program penghayatan al-Quran kepada komuniti setempat, khususnya masyarakat kampung.
Menurutnya, sebelum ini program WQH peringkat negeri lazimnya diadakan di masjid utama atau masjid negeri, namun kali ini pihak penganjur mengambil pendekatan berbeza bagi memperluaskan penyertaan masyarakat.
“Sebelum ini kami mengadakan program World #QuranHour di masjid negeri sebagai lokasi utama, tetapi tahun ini kami memilih masjid di kawasan pinggir bandar kerana mahu membuka ruang kepada lebih ramai komuniti setempat menyertainya.
“Malah, penyertaan daripada para pelajar sekolah juga semakin ramai dan ini menunjukkan program ini berjaya mendidik mereka mencintai al-Quran melalui pembacaan, pemahaman serta penghayatan terhadap kalam ALLAH,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Turut hadir, dua Penasihat PRNNK juga pentadabbur, Prof Madya Dr Azhar Muhammad, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman serta Imam Tua Masjid As-Siddiqin Mukim Panchor, Azmi Mat Nor.
Program juga disokong melalui penyertaan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia.
Menurutnya, antara yang mencuri perhatian pada penganjuran kali ini ialah penyertaan 150 pelajar sekolah dari ahli Pergerakan Puteri Islam Malaysia negeri Kelantan sekali gus mencerminkan minat generasi muda terhadap aktiviti penghayatan al-Quran.
Katanya, pengisian program membabitkan sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil, bacaan Quran, sesi Pesan Tokoh melalui perkongsian tokoh Rumah Ngaji Kebangsaan, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad dan resolusi WQH seterusnya solat Zuhur berjemaah.
“Program ini bukan sekadar membaca al-Quran selama sejam, tetapi memberi ruang kepada peserta memahami maksud ayat serta menghayati mesejnya dalam kehidupan seharian.
“Kami berharap usaha seperti ini dapat membantu membina generasi yang berakhlak dan berjiwa al-Quran,” katanya.
Program WQH tahun ini mengangkat tema “Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia” dengan fokus kepada tadabbur Surah Al-Muzzammil yang menekankan pembinaan kekuatan rohani, mental dan emosi melalui qiamullail serta bacaan al-Quran.


