GOMBAK - Pengalaman pertama kali menghadiri World #QuranHour (WQH) 2026 membangkitkan keterujaan dalam kalangan 14 pelajar muda Maahad Tahfiz Darul Hikmah Denai Alam.
Guru pengiringnya, Hairi Asyraf berkata, program perkongsian ilmiah selama satu jam seperti WQH cukup memberikan manfaat, menyuntik pengalaman baharu dan perasaan cintakan al-Quran.
Menurutnya, besar harapan agar WQH diadakan lagi pada tahun-tahun seterusnya sebagai platform untuk umat Islam baca, faham dan amal al-Quran.
"Kami datang ke sini atas jemputan pertama kali untuk mengimarahkan WQH 2026.
"Memang teruja dan apa yang saya lihat, program ini bagus untuk pendedahan pelajar supaya mereka dapatkan manfaat ilmu daripada sini.
"Walaupun hanya berlangsung sejam, saya harap ia dapat dilaksanakan lagi, beri pendedahan kepada anak muda yang bakal memimpin negara satu hari nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
WQH 2026 memasuki tirai penganjurannya yang ke-11, berlintas langsung selama satu jam dari lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.
Dengan tema 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia' dan pertama kali dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris, program tahunan itu memfokuskan surah al-Muzzammil sebagai surah tema.
Penganjuran kali ini amat bermakna apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke WQH 2026.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Rektor UIAM, Profesor Emiritus Datuk Dr Osman Bakar dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.
Seramai 13 diplomat dan wakil kedutaan dari 13 negara bakal menyerikan lagi penganjuran World #QuranHour tahun ini antaranya Oman, Tajikistan, Rusia, Jordan, Iran, Afghanistan serta Iraq.
Kerajaan negeri sokong program syiar Islam, lebih 2,600 peserta hadir World #QuranHour Melaka
**media[3460121]**
MELAKA - Seramai kira-kira 2,600 peserta menghadiri majlis khatam al-Quran sempena program World #QuranHour peringkat negeri yang berlangsung di Masjid Al-Azim pada Rabu yang turut dihadiri tetamu kenamaan termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata,
peserta yang hadir terdiri daripada pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA), Rumah Ngaji serta institusi tahfiz swasta di negeri ini.
Menurutnya, program tahunan itu antara usaha memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat dengan mengangkat mesej daripada surah al-Muzzammil yang menekankan keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat.
“Al-Quran merupakan panduan yang mengandungi segala kebaikan. Melalui penghayatan surah ini, kita mahu masyarakat memahami kepentingan mengimbangi antara urusan duniawi dan ukhrawi.
“Kita tidak boleh mengejar dunia semata-mata sehingga melupakan kehidupan akhirat kerana di situlah tempat kekal abadi,” katanya pada program itu.
**media[3460122]**
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memperkasa syiar Islam melalui pelbagai program keagamaan yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan antara bajet terbesar bagi pembangunan agama Islam termasuk kepada agensi-agensi berkaitan.
“Setiap tahun lebih 3,000 program keagamaan dilaksanakan meliputi pelbagai peringkat bermula dari negeri, daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga ke kampung dan sekolah,” katanya.
**media[3460119]**
Dalam pada itu, Rahmad berkata, pencapaian pendidikan agama di Melaka juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila banyak sekolah aliran agama mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Katanya, daripada 18 sekolah cemerlang di Melaka, sebanyak 10 daripadanya merupakan sekolah aliran agama, selain pencapaian baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Islam (STAM).
“Ini membuktikan bahawa memilih aliran pendidikan agama merupakan satu pilihan yang tepat dan Melaka kini berada di landasan yang betul dalam memperkasakan pendidikan Islam,” ujarnya.


