amree20/11/2026 - 12:45 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Perdagangan luar Malaysia mencatat sejarah apabila melepasi paras RM400 bilion buat kali pertama dalam tempoh sebulan, dengan mencecah RM436.6 bilion pada Oktober 2026, disokong lonjakan eksport dan import yang masing-masing berkembang lebih 50%.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, jumlah perdagangan tersebut meningkat kira-kira 58% berbanding hanya RM276.3 bilion pada bulan yang sama tahun lalu, manakala eksport melonjak 61.1% kepada RM239.2 bilion dan import bertambah 54.4% kepada sebanyak RM197.4 bilion.
Prestasi positif berkenaan ujarnya, turut menyaksikan lebihan dagangan Malaysia berkembang kira-kira 103.4% kepada sebanyak RM41.8 bilion, sekali gus masih berjaya mengekalkan rekod lebihan dagangan selama 78 bulan berturut-turut sejak dicatatkan pada Mei 2020.
"Pertumbuhan disokong peningkatan ketara dalam eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik yang menyumbang 73.2% daripada jumlah eksport naik 60.3% kepada RM175.1 bilion, manakala eksport semula melonjak 63.6% kepada RM64.1 bilion," kata kenyataan DOSM pada Jumaat.
Dari segi destinasi, peningkatan eksport paling ketara direkodkan ke Taiwan dengan kenaikan RM23.7 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM19.9 bilion), Singapura (RM13.2 bilion), China (RM6 bilion), India (RM5.2 bilion), Indonesia (RM4.3 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM3.8 bilion).
Sementara itu, import meningkat susulan aliran masuk lebih tinggi dari China yang bertambah RM19 bilion, diikuti Singapura (RM14 bilion), Taiwan (RM10.5 bilion), Republik Korea (RM9.3 bilion), Kesatuan Eropah dan India (masing-masing RM2.6 bilion) serta Thailand (RM2.3 bilion).

Mengikut kumpulan barangan, eksport elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang utama dengan peningkatan RM58.5 bilion, diikuti keluaran perkilangan lain (RM12.1 bilion), petroleum (RM8.1 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM3 bilion) serta gas asli cecair (RM2.7 bilion).
"Bagi import pula, barangan E&E turut mencatat peningkatan terbesar sebanyak RM43.8 bilion, diikuti keluaran petroleum (RM7.8 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM4.8 bilion), petroleum mentah (RM3.1 bilion) serta kimia dan produk kimia (RM2.4 bilion)," katanya.
Mengikut kategori penggunaan akhir, import barangan perantaraan meningkat 64% atau RM37 bilion kepada RM94.8 bilion, merangkumi 48% daripada jumlah import. Import barangan modal pula naik 32.9% kepada RM24.8 bilion, manakala barangan penggunaan meningkat 11.8% kepada RM11.2 bilion.
Secara perbandingan bulan ke bulan (MoM), eksport, import dan jumlah perdagangan masing-masing meningkat kira-kira 10.9%, 8.8% dan 9.9% berbanding September 2026. DOSM menjelaskan, Lebihan dagangan turut bertambah 21.7% atau RM7.4 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, jumlah perdagangan Malaysia naik 33.2% kepada RM3.3 trilion berbanding RM2.5 trilion dalam tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan eksport sebanyak 37.1% dan import 28.8%, manakala lebihan dagangan berkembang 114.2% kepada RM274.8 bilion. - DagangNews.com




