amree20/11/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Selangor mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM87.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, dengan 84.8% daripadanya disumbangkan sektor perkhidmatan dan dijangka mewujudkan 34,971 peluang pekerjaan menerusi 1,302 projek yang diluluskan.
Agensi promosi pelaburan dimiliki penuh kerajaan negeri berkenaan, Invest Selangor Berhad berkata, sektor perkhidmatan dikenal pasti menyumbang sebanyak RM74.5 bilion daripada jumlah pelaburan tersebut, manakala sektor pembuatan merekodkan baki mencecah RM13.4 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, negeri tersebut akan terus memberi tumpuan usaha kepada sektor yang bernilai tinggi bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pelaburan secara berterusan dalam tempoh jangka panjang.
"Antara sektor yang menjadi keutamaan kami ialah semikonduktor, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju, selaras usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi," jelas beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Di samping itu beliau menambah, pembangunan ekosistem yang kukuh dan secara bersepadu adalah penting bagi membolehkan syarikat berkembang, berinovasi serta bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, kerajaan negeri menyasarkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM330 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030.

Ujar Hassan, RS-2 turut memberi tumpuan kepada sebanyak lima sektor pertumbuhan utama, iaitu elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, ekonomi digital serta ekonomi kreatif.
"Sejajar dengan sasaran itu, Invest Selangor akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan berkualiti dan memperkukuh ekosistem perniagaan negeri bagi memastikan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan," jelas beliau.
Menurut agensi itu, kedudukan strategik Selangor, infrastruktur bertaraf dunia serta ekosistem perniagaan yang berkembang terus menjadi antara faktor yang menyokong kemasukan pelaburan bernilai tinggi daripada pelbagai industri.
Bagi keseluruhan 2025, Selangor merekodkan pelaburan diluluskan mencecah RM83.9 bilion, melepasi sasaran awal hanya sebanyak RM65 bilion yang ditetapkan oleh kerajaan negeri berkenaan.
Bagaimanapun, jumlah itu merosot 17% berbanding RM101.1 bilion yang dicatatkan pada 2024, sebelum pelaburan diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2026 meningkat kepada RM87.9 bilion. - DagangNews.com





