
KUALA LUMPUR – Penduduk di beberapa negeri terutama di utara Semenanjung dinasihatkan berwaspada susulan jangkaan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga pukul 4 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca itu membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Kedah antara negeri yang melibatkan banyak kawasan iaitu Langkawi, Bandar Baharu, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Kulim.
Sementara itu, kawasan yang terlibat di Perak ialah Kerian, Larut Matang, Selama dan Bagan Datuk, manakala Sabak Bernam disenaraikan bagi Selangor.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda cuaca berkenaan sedang atau dijangka berlaku dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut MetMalaysia.
Orang ramai terutama mereka yang berada di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada terhadap perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini daripada saluran rasmi MetMalaysia.
Menurut MetMalaysia, ribut petir lazimnya boleh disertai angin kencang serta hujan lebat dalam tempoh singkat yang berpotensi menyebabkan kejadian seperti banjir kilat.
The post 10 kawasan di Kedah antara lokasi berdepan ribut petir hingga 4 petang appeared first on MYBERITA.






