
SHAH ALAM – Seramai 10 lelaki menjadi buruan bagi membantu siasatan kes pergaduhan termasuk menyebabkan kematian di Taman Alam Megah dan Taman Sri Muda di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah itu, tujuh individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes di Taman Alam Megah, manakala tiga lagi berkaitan kes di Taman Sri Muda.
“Kesemua mereka berusia 23 hingga 46 tahun dan masih bebas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, polis melakukan beberapa serbuan di Taman Sri Muda, Seksyen 19, Shah Alam dan Klang di Selangor serta Muar dan Iskandar Puteri, Johor bermula 14 hingga 28 Ogos lalu.
Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan 21 lelaki tempatan berusia 23 hingga 46 tahun.
“Semakan mendapati beberapa suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah. Polis merampas pelbagai senjata termasuk tujuh bilah parang, tukul besi, pemotong kabel dan alat pengunci stereng.
“Turut dirampas adalah sembilan buah kereta, tiga buah motosikal dan beberapa buah telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.
Daripada 21 lelaki yang ditahan, lapan telah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), empat lagi didakwa mengikut Seksyen 148 KK manakala lapan lelaki dibebaskan.
Katanya, kedua-dua kes pergaduhan itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kes pergaduhan di Taman Alam Megah dipercayai berpunca akibat perebutan kawasan, manakala insiden di Taman Sri Muda pula disebabkan salah faham.
Tambahnya, siasatan mendapati mangsa yang maut di Taman Alam Megah memiliki enam rekod kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kosmo! sebelum ini melaporkan lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 4 September atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Taman Alam Megah.
Mereka ialah K. Thivagar, 29, Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, Sheik Mauludin, 24, M.K. Puwanesearan, 39, R. Darvin Raj, 23, S. R. Harikrisnan, 42, A. Rhubban, 37 dan Soulami Ahimsha, 46. – KOSMO! ONLINE
The post 10 lelaki diburu bantu siasatan kes gaduh Taman Alam Megah, Taman Sri Muda appeared first on Kosmo Digital.






