10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga

26 Aug 2026 • 1:55 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bila sebut tentang Malaysia, kebanyakan orang khususnya pelancong hanya mengingati mercu tanda, tempat menarik serta makanan tradisi negara ini.

Namun jangan tidak tahu, banyak sebenarnya pencapaian dan perkara tentang Malaysia di peringkat antarabangsa yang boleh dibanggakan.

Jom kami senaraikan 10 pencapaian dan perkara tentang Malaysia di pentas dunia yang mungkin ramai tidak tahu.

#1 Menara Merdeka 118 Merupakan Menara Tertinggi Di Asia & Kedua Di Dunia

Siapa sahaja yang tidak kagum apabila lihat Menara Merdeka 118? Buat yang tidak tahu, menara yang berketinggian 118 tingkat dengan tinggi 678.9 meter itu dinobatkan sebagai menara tertinggi di Asia.

Bukan sahaja di Asia malah Menara Merdeka 118 yang kini dinamakan semula sebagai Menara Merdeka Maybank menjadi menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa yang berketinggian 828 meter.

Bukan itu sahaja, ia juga dinobatkan sebagai bangunan tinggi terbaik yang berketinggian 300 meter ke atas Council on Vertical Urbanism (CVU).

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: Pexels

#2 Malaysia Negara Pertama Di Asia Anjur Sukan Komanwel

Tahukah anda, Malaysia negara Asia pertama yang menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998?

Bukan itu sahaja, atlet negara juga berjaya mencipta sejarah apabila menduduki tempat keempat dalam temaysa sukan kedua terbesar di dunia itu dengan meraih 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan adalah 36 pingat.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga

#3 Malaysia Hantar Angkasawan Pertama Negara

Antara pencapaian atau perkara yang membanggakan Malaysia adalah apabila negara menghantar angkasawan pertama ke angkasa lepas.

Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roscosmos) untuk menyertai misi ke angkasa lepas pada tahun 2007.

Sepanjang tempoh 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), Sheikh Muszaphar telah menyempurnakan dua ujian mengenai penghabluran protein yang membawa kepada paten dan cap dagang.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: Malay Mail

#4 Lee Chong Wei Pecah Rekod Jadi Pemain Nombor Satu Dunia Paling Lama

Kejayaan Malaysia dalam bidang sukan sememangnya tidak disangkal lagi.

Antara pencapaian yang paling membanggakan apabila bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memecah rekod apabila menjadi satu-satunya pemain yang menduduki tangga nombor satu dunia paling lama.

Untuk info, Lee Chong Wei berada di ranking pertama dunia selama 348 minggu atau enam tahun lapan bulan.

Malah, Chong Wei turut berada di takhta teratas dunia apabila memenangi acara perseorangan lelaki selama 199 minggu berturut-turut serta 68 kejuaraan individu.

Beliau juga menjadi atlet pertama Malaysia yang mempunyai patung lilin di Madame Tussauds Hong Kong.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: FB Badminton Association of Malaysia – BAM

#5 Michelle Yeoh Pelakon Asia Pertama Yang Menang Anugerah Oscar

Pencapaian pelakon terkenal yang juga anak kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh dalam Anugerah Academy atau Oscar edisi Ke-95 pada tahun 2023 juga menjadi antara peristiwa yang patut dibanggakan.

Michelle yang berasal dari Ipoh, Perak dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan hebatnya sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All At Once sekaligus menjadikan beliau sebagai pelakon wanita Asia pertama yang memenangi anugerah tersebut.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: IG Michelleyeoh_official

#6 Karya Animasi Tempatan Tembus Pasaran Antarabangsa

Bila sebut tentang karya animasi tempatan, antara yang paling mendapat perhatian adalah siri animasi Upin Ipin, Ejen Ali, Mechamato dan Papa Pipi Zola.

Buat korang yang tak tahu, animasi ini bukan hanya popular di Malaysia, malah turut mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Antaranya seperti filem animasi Upin Ipin yang pernah memenangi Filem Cetera Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa (ANIMAZE) di Montreal, Kanada pada tahun 2019.

Animasi tempatan lain tak kurang hebat juga apabila ada juga yang turut merangkul anugerah di peringkat antarabangsa.

Antaranya seperti Mechamato yang pernah memenangi kategori Anugerah Anime Fan Award, dalam Anime Award Festival (TAAF) yang diadakan di Tokyo, Jepun pada tahun 2023.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: Malay Mail via FB Upin Ipin

#7 KLIA Tersenarai Sebagai 10 Lapangan Terbang Terbaik Di Dunia

Pencapaian lain yang membanggakan adalah apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersenarai sebagai 10 lapangan terbang terbaik di dunia.

Berdasarkan tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) 2024, KLIA mendapat skor yang hampir sempurna iaitu 4.99 dari lima oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: FB KLIA

#8 Malaysia Jadi Destinasi Pelancongan Mesra Muslim 11 Tahun Berturut-Turut

Malaysia sememangnya menjadi antara negara pusat tumpuan pelancong baik dalam mahupun dari luar negara.

Dalam sektor pelancongan, antara pencapaian Malaysia yang membanggakan adalah apabila dinobat sebagai pelancongan mesra Muslim nombor satu di dunia selama 11 tahun berturut-turut! Hebat bukan?

Ini menjadi bukti Malaysia sememangnya terkenal di mata dunia.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: Pexels

#9 Pasport Malaysia Jadi Antara 10 Pasport Yang Terkuat Di Dunia

Pasport Malaysia menjadi antara 10 pasport yang terkuat di dunia juga antara perkara yang patut dibanggakan.

Pencapaian ini membolehkan pemegang pasport Malaysia menikmati akses tanpa visa atau visa sewaktu ketibaan ke 183 destinasi.

Berdasarkan Indeks Pasport Henley 2026, Malaysia berada di tangga ketujuh dan berkongsi kedudukan dengan Australia, Kanada, Czechia, Latvia, New Zealand, Slovakia dan Slovenia.

Kedudukan itu sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara kedua di Asia Tenggara mempunyai pasport paling berkuasa.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: Malay Mail

#10 Farm Fresh Jenama Tempatan Yang Dinobat Sebagai Susu Terbaik Dunia

Jangan tidak tahu, jenama susu tempatan, Farm Fresh pernah dinobatkan sebagai produk tenusu terbaik di dunia bagi tahun 2025 sehingga 2026 di World Branding Awards 2025–2026 yang berlangsung di Osaka City Museum of Fine Arts pada tahun 2025.

Itu merupakan kemenangan buat kali ketiga yang diperolehi oleh Farm Fresh selepas merangkul anugerah sama buat kali pertama pada tahun 2022.

Malah, Farm Fresh menjadi satu-satunya pemenang bagi kategori produk tenusu dari Malaysia yang dipilih untuk anugerah tersebut.

Image from: 10 Perkara Tentang Malaysia Di Pentas Dunia Yang Pasti Buat Korang Bangga
Foto: FB Farm Fresh

Hebatkan? Sebenarnya, banyak lagi pencapaian Malaysia yang boleh dibanggakan. Ini hanya sedikit sahaja yang dapat kami kongsikan buat anda.

Namun, setiap pencapaian ini sudah cukup untuk membuktikan Malaysia mampu berdiri gah di mata dunia.

Baca Artikel Berkaitan: Jadi Yang Terawal Guna, Usahawan Bangga Pasport Malaysia Dapat Pujian Pegawai Imigresen Luar Negara

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar UPSI Harumkan Nama Malaysia di World Chefs Championship 2026, Bawa Pulang 6 ‘Excellent Gold’ & 7 Emas

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai, Bukti Rakyat Yakin Dengan Kepimpinan Negara – Nga Kor Ming

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved