
MAJLIS Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) menyampaikan hadiah wang tunai RM100,000 kepada atlet Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang memperoleh pingat pada kejohanan tersebut baru-baru ini.
Presiden MDPM, Datuk Alvin Tee Guan Pian berkata, hadiah tersebut adalah penghargaan di atas kecemerlangan atlet berkenaan yang mencatat pencapaian membanggakan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut ternyata mengharumkan nama negara di arena sukan antarabangsa dan seharusnya para atlet terbabit diberikan penghargaan yang sewajarnya.
“Sebagai rakyat Malaysia kita amat berbangga dengan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh para atlet. Sebagai sebuah kontinjen kecil, namun membawa pulang pingat yang di luar jangkaan adalah suatu pencapaian luar biasa.
“Kita berharap penghargaan ini akan menyuntik semangat untuk memperoleh lebih banyak kejayaan pada kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya pada majlis makan malam di sini semalam.
Sementara, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Rahimi Ismail berkata, pencapaian pada kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila angkat berat menjadi penyumbang terbesar selain meraih emas pertama bagi acara judo serta menamatkan penantian emas acara berbasikal selama 16 tahun.
“Namun semua pencapaian itu bukan hasil kerja keras dan komitmen atlet sahaja, banyak lagi pihak di belakang seperti pasukan teknikal, perubatan, saintis sukan, fisioterapi, pengurusan sukan dan paling penting keluarga atlet yang tidak putus-putus memberi sokongan,” katanya.
Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini, atlet negara meraih lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.
The post MDPM sumbang RM100,000 atlet cemerlang Sukan Komanwel appeared first on Kosmo Digital.





