
KUALA LUMPUR – “10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr. Euodia demi mommy.”
Demikian luahan anak kepada Jururawat Terlatih (SN), Debra Moset iaitu Euodia Then Suling yang menyimpan impian untuk bergelar doktor sebagai penghormatan terakhir buat ibunya yang disifatkan sebagai wanita paling kuat dalam hidup gadis itu.
Media sebelum ini melaporkan mendiang Debra antara lima mangsa maut selepas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang dinaiki mereka terhempas serta terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang, Selasa lalu.
Euodia menerusi hantaran di Threads berkata, mendiang ibunya pernah menyatakan hasrat untuk menemaninya sehingga berjaya menjadi seorang doktor.
“Mommy (ibu) kakak pernah kata yang mommy nak teman kakak sampai jadi doktor dan kita berangan nak sama tempat kerja dulu.
“Maybe in another life saja ya mommy,” katanya.
Menurut Euodia, ibunya yang hanya sempat bersamanya selama 15 tahun merupakan seorang wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi anak dan keluarga.
Dalam hantaran sama, Euodia turut menzahirkan rasa bangga terhadap ibunya yang didakwa meninggal dunia ketika memberikan perkhidmatan dalam bidang kesihatan.
“Kalau bukan sebab mommy, kakak takkan minat dengan science stream (aliran sains). Dulu mommy suruh kakak masuk science stream (aliran sains) biar kakak senang dapat kerja.
“Kakak akan usahakan atas nama mommy,” katanya.
Euodia turut berjanji akan merealisasikan impian tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang sebagai tanda kasih dan penghargaan buat wanita yang menjadi sumber kekuatannya.
“Mommy mesti bahagia di alam sana. Kakak sentiasa berdoa untuk mommy. Kakak dah ikhlaskan mommy.
“God loves you more (tuhan sayang kamu lebih). Berbahagialah di alam sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr. Euodia demi mommy’ appeared first on Kosmo Online.





