
Apple dan Samsung adalah dua seteru dalam pasaran telefon pintar moden. Pada tahun 2025 Apple berada di puncak dengan pegangan 20% pasaran sementara Samsung pula di tangga kedua dengan pegangan 19% pasaran. Counterpoint Reserach telah menerbitkan laporan 10 telefon pintar paling laku pada Q2 2026 dan tidak mengejutkan ia didominasi Apple dan Samsung.

Apple dan Samsung masing-masing mempunyai lima telefon dalam senarai. Telefon paling laku adalah iPhone 17 diikuti oleh iPhone 17 Pro Max, iPhone 17 Pro dan Samsung Galaxy S26 Ultra. Kesemua peranti paling lalu Apple jatuh ke dalam kategori mercu atau mercu mampu milik sementara bagi Samsung pula majoritinya peranti mampu milik.
Apple dan Samsung dijangka terus mendominasi pasaran telefon pintar 2026 kerana mereka akan dapat terus mengeluarkan peranti dalam jumlah lebih besar berbanding pengeluar lain. Namun begitu penganalisa masih meramalkan pengeluaran telefon pintar sepanjang 2026 dan 2027 akan susut disebabkan oleh krisis RAM global.





