
GUA MUSANG – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan purata antara 10,000 hingga 12,000 pemegang baharu kad pemastautin tetap (MyPR) atau MyKad merah setiap tahun.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, secara kumulatif, seramai 263,608 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara sejak dokumen berkenaan mula dikeluarkan.
“Jumlah ini adalah sejak ia dikeluarkan sehingga kini. Puratanya dalam 10,000 hingga 12,000 setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Literasi Pendaftaran Sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Pos Balar di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Badrul Hisham memberitahu, JPN tidak mempunyai data tepat mengenai jumlah masyarakat Orang Asli di Sabah dan Sarawak yang masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri.
Katanya, jumlah itu hanya dapat dikenal pasti apabila individu terbabit hadir untuk membuat permohonan atau menerusi program turun padang yang dilaksanakan JPN.
“Melalui pelbagai program turun padang, kita santuni mereka dan membantu masyarakat yang tinggal di pedalaman, mendapatkan kad pengenalan.
“Contohnya, menerusi Program Literasi Pendaftaran di Pos Balar, kita tidak tahu berapa ramai yang masih tidak mempunyai kad pengenalan atau berapa orang akan hadir. Tetapi, kita sudah menerima lebih 30 permohonan MyKad bagi mereka yang berusia 12 tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 12,000 pemegang MyKad merah baharu direkodkan setiap tahun appeared first on Kosmo Online.






