
JOHOR BAHRU – Seramai 123 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor selepas 21 premis diserbu dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari yang berakhir semalam.
Serbuan yang dijalankan pada Selasa dan semalam itu membabitkan premis seperti kedai makan dim sum, pusat servis dan baik pulih kenderaan, kedai dobi, kedai aksesori kenderaan serta pusat refleksologi.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, daripada keseluruhan 123 warga asing yang ditahan, 47 merupakan lelaki Myanmar, Bangladesh (lima), Indonesia (10), Pakistan (lima), Nepal (enam) dan China (seorang).
“Bagi tahanan wanita pula, masing-masing seorang warga Vietnam, 14 Indonesia, 27 Myanmar dan tujuh China.
“Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 50 tahun dan dipercayai bekerja sebagai tukang masak, tukang urut serta pelayan selain terdapat pelanggan yang berada di premis ketika serbuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua warga asing terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Sebanyak 13 Borang 29, iaitu saman kepada saksi, turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, enam warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus di premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post 123 warga asing jadi tukang masak, pelayan pelanggan secara ‘haram’ appeared first on Kosmo Digital.






