
PASIR PUTEH – Cubaan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan beberapa sungai terbongkar apabila seramai 14 warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh dicekup dalam tiga operasi berasingan dalam tempoh seminggu.
Kesemua PATI terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di sekitar Sungai Tumpat, Sungai Kelantan berhampiran Kampung Ekor Pasir dan Jeti Pasar Terapung Pulau Pisang, Kota Bharu.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan pertama dijalankan kira-kira pukul 6.15 pagi pada 14 Oktober lalu apabila pasukan penguat kuasa mengesan sebuah bot laju tanpa lampu bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan Kuala Tumpat.
Katanya, bot berkenaan berjaya lolos, namun hasil pencarian di sepanjang sungai membawa kepada penahanan tiga warga Indonesia termasuk dua wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Operasi kedua dijalankan kira-kira pukul 10.05 malam pada Isnin lalu dengan menahan 10 warga Myanmar yang bersembunyi di kawasan semak di berhampiran Kampung Ekor Pasir.
“Operasi terakhir di Jeti Pasar Terapung Pulau Pisang kira-kira pukul 5.13 pagi semalam membawa penahanan seorang lelaki warga Bangladesh. Dua kenderaan dipercayai dipandu tekong darat hampir merempuh anggota penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Kamal memberitahu, kesemua 14 PATI dibawa ke Pejabat APMM Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen dan rekod perjalanan yang sah. – KOSMO! ONLINE
The post 14 PATI dicekup menyelinap ikut sungai appeared first on Kosmo Online.






