
PETALING JAYA – Kegiatan seorang wanita warga Indonesia yang bertindak sebagai ejen haram dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan imigresen terbongkar dalam serbuan di sebuah premis kediaman di Seksyen U15, Shah Alam, kelmarin.
Operasi bermula pukul 10 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan ke atas suspek berusia 31 tahun itu dibuat hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.
“Modus operandi suspek adalah menawarkan dan mempromosikan perkhidmatan berkaitan imigresen melalui platform media sosial TikTok dengan menyasarkan warga Indonesia yang berada di Lembah Klang.
“Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk urusan Program Repatriasi Migran (PRM), Pas Khas serta membawa masuk dan keluar migran melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek turut dipercayai menguruskan permohonan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada Kedutaan Indonesia.
“Perkhidmatan itu ditawarkan pada kadar RM700 hingga RM3,000 bagi setiap urusan, manakala kegiatan berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zakaria berkata, pihaknya turut menyita dua pasport Indonesia, set kunci premis kediaman, dua telefon bimbit, sebuah buku catatan pelanggan serta wang tunai berjumlah RM4,000 dipercayai hasil kegiatan terbabit.
Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah syarikat kurier di Puncak Alam, Shah Alam sebelum menyita satu bungkusan mengandungi pasport Indonesia yang dihantar pelanggan kepada suspek.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tambahny. – KOSMO! ONLINE
The post Setahun jadi ejen haram imigresen, wanita Indonesia akhirnya tumpas appeared first on Kosmo Online.






