
SANDAKAN: Sembilan orang cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran stesen minyak Petron di Taman Tshun Ngen, Batu 5, di sini, Jumaat.
Kejadian pada 11.47 pagi itu membabitkan sebuah Toyota Vios, Proton Saga, Isuzu D-Max dan lori Isuzu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi NG MERS 999 pada 11.47 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kira-kira 4km dari balai, kesemua sembilan mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang awam.
“Semua mangsa mengalami kecederaan pada tahap berbeza,” katanya.
Anggota bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum menjalankan operasi pembersihan bagi menghapuskan sisa minyak di atas jalan raya.
Menurut Jimmy, sembilan mangsa itu dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS), ambulans Kementerian Kesihatan serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Antara yang cedera ialah lelaki berusia 21 tahun, wanita berusia 34 tahun, dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun serta seorang wanita berusia 61 tahun. Mereka menaiki Vios dan Saga.
Dua penumpang Vios cedera parah, dengan seorang mengalami pendarahan di mulut manakala seorang lagi cedera di kepala.
Kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun itu mengalami trauma, manakala lelaki berusia 21 tahun mengalami lebam pada kaki kanan. Wanita berusia 61 tahun yang menaiki Saga pula mengalami kecederaan pada bahagian rusuk kiri.
Mangsa lain ialah seorang lelaki berusia 72 tahun yang menaiki D-Max dan mengalami kecederaan pada tangan kanan, selain dua lelaki yang menaiki lori Isuzu.
Penumpang lori berusia 27 tahun dan seorang lagi yang identitinya tidak diperoleh masing-masing mengalami kecederaan pada tangan kanan dan bahu kiri.
Operasi yang membabitkan tujuh anggota bomba, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan EMRS itu ditamatkan pada 12.27 tengah hari selepas pihak berkuasa mengesahkan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
DUA kereta terbakar dalam nahas di Tawau.Di TAWAU, enam individu, termasuk empat anak-beranak, nyaris maut selepas Perodua Alza dan Toyota Rush yang mereka naiki terbabit kemalangan sebelum terbakar di Batu 8 Jalan Apas berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas, di sini, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tawau Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata semua mangsa mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.
Menurutnya, Perodua Alza itu dinaiki pemandu berumur 38 tahun, isterinya berusia 39 tahun serta dua anak lelaki berumur 10 dan tiga tahun.
“Sementara Toyota Rush pula dinaiki dua remaja lelaki iaitu pemandu berumur 18 tahun dan penumpangnya berumur 17 tahun,” katanya.
Jemishin berkata semua mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Mengulas lanjut pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.21 petang sebelum menghantar sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fazli Rahman.
“Pasukan tiba 19 minit kemudian sebelum mendapati berlaku kebakaran melibatkan dua kenderaan yang musnah 100 peratus di lokasi kejadian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman kebakaran menggunakan satu aliran gelung hos dari sumber air tangki jentera bomba, sebelum menamatkan operasi selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan terbabit.






