
KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 160 orang disahkan terkorban, manakala ratusan lagi masih hilang selepas banjir kilat membawa lumpur dan limpahan ais meredah laluan lembah dan sungai di Banjaran Himalaya, memusnahkan penempatan di sempadan Nepal serta Tibet, lapor akhbar The Washington Post.
Bencana yang berlaku semalam merobohkan bangunan-bangunan dan menghanyutkan orang ramai yang cuba melarikan diri.
Angka korban bencana tersebut dijangka terus meningkat.
Pegawai-pegawai di Nepal melaporkan sebanyak 157 kematian.
Manakala, pihak berkuasa China pula hanya melaporkan tiga kematian di wilayah Tibet, China, namun agensi berita rasmi Xinhua menyatakan, terdapat korban yang ‘signifikan’ di pintu masuk pelabuhan Gyirong, di sempadan Nepal.
Lembaga Pelancongan Nepal melaporkan seramai 391 pelancong, termasuk 291 warga asing dari Britain, Amerika Syarikat, India, Australia, Belanda, Malaysia, dan Afrika Selatan dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa tempatan masih menjalankan operasi menyelamat dan meneliti tahap kerosakan di daerah Rasuwa serta kawasan sekitar sungai Bhote Koshi dan Trishuli.
Pelbagai kemudahan asas termasuk jambatan, sekolah, dan projek hidroelektrik dilaporkan musnah dihanyutkan arus. – AGENSI
The post 160 disahkan maut ‘tsunami’ di Nepal appeared first on Kosmo Digital.






