
WASHINGTON – Seramai 163 kanak-kanak hilang, termasuk berpuluh-puluh mangsa di kawasan Miami, ditemukan menerusi operasi penyelamatan kanak-kanak terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, lapor saluran berita NBC Miami semalam.
Operasi dinamakan Statewide Shield itu berlangsung dari 17 hingga 21 Ogos lalu dengan tumpuan untuk mengenal pasti, mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak hilang berumur di bawah 18 tahun, demikian menurut Jabatan Penguatkuasaan Undang-Undang Negeri Florida (FDLE).
Kanak-kanak yang diselamatkan pula berumur antara 2 bulan hingga 17 tahun, dengan ramai antara mereka mengalami pelbagai tahap penderaan, pengabaian, eksploitasi atau pendedahan kepada aktiviti jenayah, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan media.
Menurut FDLE, Pejabat Pendakwaan Seluruh Negeri di bawah Peguam Negeri Florida, James Uthmeier bersama Pejabat Pendakwa Raya Miami-Dade kini mengambil alih tiga kes jenayah berat hasil daripada operasi tersebut.
Kenyataan media berkenaan tidak menyediakan maklumat lanjut mengenai kemungkinan tangkapan dibuat.
“Ramai kanak-kanak ini telah menjadi mangsa kepada pihak yang mengeksploitasi golongan paling rapuh,” kata Uthmeier yang dipetik dalam kenyataan media itu.
“Hasil kerja cemerlang FDLE, Pejabat Pendakwaan Seluruh Negeri, serta rakan kerjasama negeri dan tempatan kami, kanak-kanak ini kini selamat dan menerima jagaan yang sepatutnya.
“Florida akan terus memimpin usaha menyelamatkan kanak-kanak yang hilang, memburu setiap pemangsa dan mendakwa mereka yang melakukan penderaan mengikut undang-undang,” tambahnya. – AGENSI
The post 163 kanak-kanak hilang termasuk bayi 2 bulan diselamatkan appeared first on Kosmo Digital.





