Pembangunan Singapura ancam rezeki nelayan Johor

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 10:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pembangunan Singapura ancam rezeki nelayan Johor

PONTIAN – Persatuan Nelayan Johor Selatan kesal apabila mendakwa pihak berkuasa se­olah-olah lepas tangan terhadap isu kegiatan penambakan menggunakan sisa binaan Singapura di Kampung Simpang Kiri, di sini.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Mohd. Ikhwan Abd. Rahman berkata, laporan polis berhubung isu berkenaan telah dibuat oleh Ketua Nelayan Kampung Simpang Kiri di Balai Polis Permas.

Menurutnya, laporan itu dibuat susulan kejadian tanah runtuh akibat aktiviti penambakan yang menyebabkan alur sungai berhampiran jeti nelayan menjadi semakin sempit dan cetek.

“Pada masa sama, saya turut membuat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkenaan ada datang ke lokasi untuk melihat keadaan di tapak.

“Bagaimanapun, pihak JAS hanya memaklumkan perkara itu bukan di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, ketua kampung, ketua nelayan serta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran hadir, namun sehingga kini tindakan tegas terhadap syarikat yang menjalankan aktiviti penambakan tersebut masih dipersoalkan masyarakat.

Katanya, kegiatan penambakan itu turut mengganggu aktiviti nelayan apabila air sungai menjadi keruh setiap kali operasi ha­ram ber­kenaan dijalankan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dua projek penambakan sudah siap tetapi kami masih belum melihat sebarang tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Persoalannya sekarang, adakah sisa buangan yang dibawa masuk itu benar-benar diluluskan untuk dibuang di kawasan ini atau di kawasan bersebelahan,” katanya.

Menurutnya, nelayan tidak pernah menghalang pemba­ngunan, namun sebarang projek yang memberi kesan buruk kepada kehidupan dan sumber pendapatan mereka perlu dipertanggungjawabkan dan dibuat mengikut undang-undang.

“Mana pihak berkuasa? Kepada siapa lagi nelayan mahu mengadu? Mana perginya pihak berkaitan? Kami bukan menolak kemajuan, tetapi kemajuan yang memberi kesan buruk kepada kaum nelayan tidak sepatutnya dibiarkan tanpa tindakan,” katanya.

The post Pembangunan Singapura ancam rezeki nelayan Johor appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved