Kerajaan negeri teliti aduan nelayan terjejas akibat penambakan - Exco Johor

LocalEnvironment
23 Aug 2026 • 1:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan negeri teliti aduan nelayan terjejas akibat penambakan - Exco Johor
Md Israk melihat kawasan penambakan sisa binaan dari Singapura, menjejaskan pendapatan nelayan di Kampung Simpang Kiri, Pontian.

PONTIAN – Kerajaan Johor akan meneliti aduan komuniti nelayan yang mendakwa aktiviti penambakan dan pembangunan di kawasan Tanjung Piai menjejaskan sumber pendapatan serta aktiviti harian mereka.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Md Israk Abdullah berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu dan akan mendapatkan maklumat serta hasil siasatan daripada agensi berkaitan bagi mengenal pasti kesan sebenar terhadap komuniti nelayan.

Menurut ADUN Kukup itu sekiranya terdapat bukti aktiviti penambakan menyebabkan gangguan terhadap aliran air, pencemaran, kerosakan tebing sungai atau menjejaskan hasil tangkapan, tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Kita akan teliti perkara ini. Kalau benar ia menjejaskan pendapatan nelayan, kita perlu lihat bagaimana kerajaan boleh membantu dan agensi mana yang perlu mengambil tindakan.

“Yang penting, kita perlu ada laporan dan siasatan terlebih dahulu supaya tindakan yang diambil benar-benar berdasarkan fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan nelayan mengenai kesan beberapa projek pembangunan dan penambakan di sekitar kawasan pengkalan nelayan Simpang Kiri di sini pada Ahad.

Tegasnya, kerajaan negeri tidak menolak pembangunan, namun kepentingan serta kebajikan komuniti nelayan perlu diberi perhatian supaya pembangunan tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kalau melibatkan pencemaran, Jabatan Alam Sekitar (JAS), boleh menjalankan siasatan, manakala Jabatan Perikanan boleh melihat kesannya terhadap nelayan dan hasil tangkapan.

“Kita akan bawa perkara ini kepada agensi berkaitan supaya ia dapat diteliti dan tindakan susulan boleh dibuat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved