
TAWAU: Polis menahan seorang buruh binaan warga asing berumur 41 tahun selepas disyaki terlibat kes penderaan kanak-kanak dan ugutan jenayah di Kampung Sri Aman Batu 3 Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 2 petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh berkata penahanan terhadap suspek itu dijalankan oleh pasukannya dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung terbabit selepas menerima aduan pengadu.
“Laporan polis diterima daripada seorang surirumah, 30, yang bimbang dengan keselamatannya sekeluarga akibat perbuatan suspek yang dilaporkan mengamuk dan memukul anak buahnya yang berumur sembilan tahun dengan sebatang penyapu.
“Suspek yang juga abang tiri pengadu dilaporkan terlibat dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Sabtu itu di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan,” katanya pada Ahad malam.
Rosdi berkata wanita itu turut mengadu bahawa abang tirinya sering mengamuk malah kejadian itu bukan kali pertama. Suspek juga didakwa mengugut mahu menggantung adik-adik mangsa jika ibu mereka keluar bekerja, pada hari sama buruh itu ditahan.
Pemeriksaan polis mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah atau diperakui untuk bekerja dan tinggal atau menetap di negara ini.
“Berikutan itu siasatan dijalankan di bawah tiga kertas siasatan iaitu Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (penganiayaan kanak-kanak), Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (tidak memiliki dokumen pengenalan diri),” katanya.
Rosdi berkata polis tidak berkompromi dan sedia mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang disyaki menganiaya atau mengancam keselamatan kanak-kanak dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh seiring peruntukan undang-undang negara.
Beliau juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah termasuk, kes penganiayaan atau penderaan kanak-kanak, untuk segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772121 atau balai polis berhampiran.






