17 Syor Diluluskan, Enam Langkah Segera Perkukuh Keselamatan KLIA

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 12:03 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

17 Syor Diluluskan, Enam Langkah Segera Perkukuh Keselamatan KLIA

Jemaah Menteri semalam meluluskan 17 syor penambahbaikan menerusi Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara.

Daripada keseluruhan syor berkenaan, enam tindakan akan diberi keutamaan sebagai langkah segera atau Quick Wins bagi memperkukuh sistem kawalan keselamatan sedia ada.

KDN dan MOT dalam kenyataan bersama hari ini berkata, antara langkah itu termasuk meningkatkan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.

Menurut kenyataan itu, kerajaan turut meneliti serta memperkukuh prosedur e-Vetting dan kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi serta pengendalian darat.

Image from: 17 Syor Diluluskan, Enam Langkah Segera Perkukuh Keselamatan KLIA
Kredit: KDN

Katanya, langkah berkenaan turut membabitkan pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor dan individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad.

Selain itu, ujarnya, pelaksanaan saringan dadah terhadap kakitangan penerbangan akan diperkukuh menerusi saringan pra-pengambilan, berkala dan rawak melibatkan juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

“Langkah segera itu turut membabitkan peningkatan kehadiran nyata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan.

“Langkah ini disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan turut akan memperkukuh penyelarasan serta perkongsian maklumat keselamatan dan risikan menerusi National Immigration Command Centre (NICC).

Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT juga akan ditubuhkan dengan segera dan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KDN serta Ketua Setiausaha MOT bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi dan memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.

Baca juga:

Kenyataan itu berkata, enam langkah segera berkenaan menjadi keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan merupakan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara.

Menurutnya, pelaksanaan keseluruhan 17 syor itu turut merangkumi tindakan bagi tempoh jangka sederhana dan panjang.

Image from: 17 Syor Diluluskan, Enam Langkah Segera Perkukuh Keselamatan KLIA
Kredit: KDN

“Fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang membabitkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” katanya.

Pelan tindakan itu, jelas kenyataan berkenaan, dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.

Ia termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem kawalan di pintu masuk negara.

KLIA akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan berkenaan sebelum ia diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved