18 Maut Sehari Di Jalan Raya, Setiap Kematian Rugi RM3.12 Juta - Menteri Kesihatan

LocalHealth & Fitness
3 Aug 2026 • 9:41 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

18 Maut Sehari Di Jalan Raya, Setiap Kematian Rugi RM3.12 Juta - Menteri Kesihatan

18 Maut Sehari Di Jalan Raya, Setiap Kematian Rugi RM3.12 Juta - Menteri Kesihatan

Setiap nyawa yang terkorban di jalan raya bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut memberi kesan besar kepada negara apabila dianggarkan menyebabkan kerugian ekonomi mencecah RM3.12 juta bagi setiap kematian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan Nilai Kehidupan Statistik (Value of Statistical Life, VSOL) yang menggambarkan kehilangan modal insan, ketua keluarga dan generasi muda yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam, kemalangan jalan raya terus menjadi antara cabaran kesihatan awam paling serius di Malaysia apabila kekal sebagai penyumbang kelima tertinggi kepada kematian pramatang.

Image from: 18 Maut Sehari Di Jalan Raya, Setiap Kematian Rugi RM3.12 Juta - Menteri Kesihatan
Kredit: Bernama

Menurut beliau, berdasarkan Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia oleh Kementerian Pengangkutan, secara purata seramai 18 individu maut setiap hari akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

"Lebih membimbangkan, 59 peratus daripada jumlah kematian itu membabitkan penunggang motosikal," katanya.

Baca juga:

Mengulas mengenai Program Himpunan RXZ Members 8.0 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam, Dr Dzulkefly berkata beliau menyokong semangat ukhuwah serta silaturahim yang dibawa menerusi penganjuran konvoi mega berkenaan.

Bagaimanapun, ujarnya, kejadian kemalangan maut yang dilaporkan berulang sejak penganjuran edisi pertama hingga RXZ Members 8.0 perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Beliau berkata, penganjur mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan aspek keselamatan peserta sentiasa menjadi keutamaan.

"Saya menyarankan supaya pesanan mengenai pemanduan berhemah serta advokasi keselamatan jalan raya dijadikan agenda wajib dalam setiap penganjuran agar insiden kehilangan nyawa akibat kelajuan dan kecuaian tidak terus berulang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

"Saya mendoakan semoga roh mangsa dicucuri rahmat dan ahli keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian ini," ujarnya.

Menurut Dr Dzulkefly, di sebalik setiap angka korban yang direkodkan, terdapat kisah keluarga yang kehilangan insan tersayang, isteri yang terpaksa meneruskan kehidupan sebagai balu serta anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.

Beliau berkata, peningkatan kes kemalangan jalan raya turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara apabila hospital perlu menggerakkan pelbagai sumber termasuk bekalan darah, kemudahan pengimejan, dewan bedah dan tenaga pakar bagi merawat mangsa.

"Segala fasiliti dan sumber perubatan di hospital boleh diganti, namun nyawa yang hilang pasti tiada galang gantinya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved