
KUALA TERENGGANU: Jumlah kemalangan maut sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, dekat sini, tahun ini meningkat kepada lima kes berbanding dua kematian pada penganjuran tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, secara keseluruhannya sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tempoh penganjuran RXZ Members 8.0 di seluruh negeri berbanding 11 kes pada 2025.
“Daripada lima mangsa yang maut, empat adalah lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 tahun hingga 48 tahun. Dua kes membabitkan motosikal RXZ yang berlaku di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi melibatkan motosikal Yamaha 125, Yamaha Y15 dan Vario.
“Daripada tiga kes berkenaan, satu berlaku di Kemaman manakala dua lagi di Dungun,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.
Mohd. Khairi berkata, tindakan penguatkuasaan turut dipertingkat bagi memastikan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal mematuhi peraturan dan spesifikasi ditetapkan.
Beliau berkata, sebanyak 222 motosikal disita di seluruh Terengganu sepanjang tempoh penganjuran antaranya kerana menggunakan ekzos paip dan nombor pendaftaran fancy yang tidak mematuhi spesifikasi dan pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 1,850 saman trafik turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas manakala 222 motosikal diambil tindakan sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Menurut beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut membuat enam tangkapan membabitkan empat lelaki Melayu tempatan, seorang wanita Melayu tempatan dan seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun.
Beliau berkata, semua mereka akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Mahkamah Majistret di daerah tangkapan masing-masing yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau berkata, penganjuran RXZ Members 8.0 yang menghimpunkan kira-kira 160,000 pengunjung secara keseluruhannya berlangsung dalam keadaan terkawal dari aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, hanya satu kes jenayah direkodkan sepanjang program berkenaan berbanding enam kes pada penganjuran RXZ Members 7.0 tahun lalu.
“Satu kes yang direkodkan tahun ini membabitkan kehilangan motosikal Yamaha 125Z di luar Litar Permotoran Gong Badak. Bagi kes jenayah komersial pula, satu kes penipuan direkodkan membabitkan penipuan tawaran inap desa tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus dengan jumlah kerugian RM1,200,” katanya.
Bagi kes jenayah narkotik pula, katanya, sebanyak 15 pemeriksaan dijalankan terhadap individu serta lokasi yang disyaki di daerah Kuala Terengganu sepanjang tempoh penganjuran.
Katanya, tujuh pemeriksaan dilakukan di inap desa manakala selebihnya di sekitar tapak program.
“Hasil pemeriksaan itu membawa kepada lima kes dengan tiga tangkapan membabitkan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN
The post RXZ Members 8.0: Kes kemalangan maut meningkat appeared first on Utusan Malaysia.






