johardy20/10/2026 - 18:06 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt - Selepas bertahun-tahun menunggu dan berdepan ketidaktentuan apabila projek perumahan mereka terbengkalai, seramai 2,400 pembeli Residensi Hektar Gombak (Residensi Wilayah) kini semakin hampir untuk menerima kunci kediaman masing-masing.
Projek perumahan mampu milik yang terhenti sejak Disember 2022 itu kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 92.67 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.
Lebih menggembirakan, kerja pembinaan yang disambung semula pada 21 September 2025 kini mendahului jadual asal sebanyak 18 hari, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa pembeli bakal menerima kediaman mereka pada suku kedua tahun depan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkembangan positif itu memberi keyakinan bahawa projek berkenaan mampu disiapkan mengikut sasaran.
“Kita berpuas hati dengan perkembangan projek ini yang kini sudah berada 18 hari lebih awal daripada jadual perancangan.
“Kita akan cuba membantu memastikan pihak pemaju dapat menyiapkan projek ini dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada suku pertama tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 5 Tahun 2026 di tapak projek Residensi Hektar Gombak pada Isnin.

Penantian panjang 2,400 pembeli hampir berakhir
Projek di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) itu mula dibangunkan pada 2018 dan sepatutnya siap pada 2022, namun menghadapi pelbagai masalah sehingga kerja pembinaan terpaksa dihentikan.
Keadaan itu menyebabkan 2,400 pembeli terpaksa menangguhkan impian untuk memiliki kediaman sendiri apabila projek berkenaan menjadi antara projek perumahan terbengkalai terbesar.
Tahun lalu, dilaporkan bahawa projek itu menerima suntikan dana baharu berjumlah RM125 juta bagi membolehkan pembinaannya diteruskan, dengan sasaran penyerahan kunci kepada pembeli pada separuh pertama 2027.
Aiman Athirah berkata, usaha memulihkan projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi kewangan, pihak berkuasa tempatan, syarikat utiliti dan pemaju bagi menyelesaikan masalah yang menghalang kerja pembinaan.
Menurutnya, kementerian turut melaksanakan pemantauan dan lawatan tapak sekurang-kurangnya setiap dua hingga tiga bulan bagi memastikan pembinaan berjalan mengikut perancangan.
Beliau berkata, pendekatan turun padang serta intervensi melalui TFST memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah yang sebelum ini menghalang projek berkenaan diteruskan.

“Kalau kita lihat pada peringkat awal dahulu, keadaannya seolah-olah tidak mempunyai hala tuju.
“Tetapi apabila kita mewujudkan pasukan petugas ini, kita dapat melaksanakan intervensi dengan semua pihak termasuk institusi kewangan, pihak utiliti dan pihak berkuasa tempatan,” katanya. - DagangNews.com



![[VIDEO] ECRL: Kanak-kanak, warga emas, pesara, OKU dapat diskaun 50 peratus](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/ECRL-GAMBAR-HIASAN-1024x580.jpg)


