
PUTRAJAYA: Lebih 200 juta kanak-kanak berusia bawah 18 tahun di rantau ASEAN memerlukan perlindungan menyeluruh daripada pelbagai bentuk keganasan fizikal serta dalam talian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk negara anggota ASEAN dan berdasarkan statistik UNICEF, rantau Asia Pasifik pula mempunyai populasi kanak-kanak terbesar di dunia dengan 1.12 bilion orang.
Katanya, setiap kanak-kanak berhak menikmati hak sama dari aspek perlindungan, perkembangan, kelangsungan hidup dan penyertaan bermakna dengan setiap dasar serta keputusan berkaitan mereka perlu berasaskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.
“Tema Lindungi Kanak-Kanak ASEAN: Tolak Keganasan bukan sekadar slogan, tetapi seruan tindakan bersama bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran selamat, inklusif dan memperkasa.
“Mereka perlu dilindungi, didengari serta diberi ruang untuk terlibat secara bermakna supaya dapat mencapai potensi sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan Forum Kanak-Kanak ASEAN (ACF) Ke-9 di sini, hari ini.
Nancy berkata, forum berkenaan menjadi platform penting untuk mendengar pandangan kanak-kanak secara langsung kerana pengalaman mereka mampu memberikan gambaran sebenar mengenai cabaran yang dihadapi, yang tidak dapat diterjemahkan hanya melalui statistik.
Menurutnya, kanak-kanak bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya rakan kongsi ASEAN pada hari ini yang boleh membantu membentuk dasar lebih berkesan berkaitan perlindungan mereka.
“Kejayaan ASEAN pada masa depan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kecanggihan ekonomi digital, sebaliknya melalui tahap keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan setiap kanak-kanak di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, cabaran terhadap keselamatan kanak-kanak kini semakin kompleks apabila keganasan bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal, malah turut berlaku dalam ruang digital menerusi buli siber, eksploitasi dalam talian dan bentuk penyalahgunaan baharu.
Katanya, negara anggota ASEAN kini sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Serantau ASEAN Mengenai Penghapusan Keganasan Terhadap Kanak-Kanak 2026-2035 yang dijangka diperakukan pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Filipina. – UTUSAN
The post 200 juta kanak-kanak ASEAN berdepan ancaman keganasan appeared first on Utusan Malaysia.






