
ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 224 orang daripada 74 keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat pukul 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, daerah Yan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 168 orang daripada 59 keluarga.
“Seramai 40 mangsa daripada sembilan keluarga pula ditempatkan di sebuah PPS di daerah Kuala Muda, manakala daerah Pendang merekodkan 16 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.
Katanya, sebanyak lima PPS dibuka di ketiga-tiga daerah tersebut bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir.
“Di Yan, PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Teroi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Eng dan Dewan Lestari Guar Chempedak.
“Sementara itu, mangsa di Kuala Muda ditempatkan di Surau As Saadiah, manakala di Pendang di Dewan KEDA Tanjung Setol,” ujarnya.
Antara kawasan terjejas banjir di Yan ialah Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras, manakala Kuala Muda membabitkan mukim Gurun iaitu Kampung Kepala Bukit, Kampung Guar Nenas, Kampung Guar Stesen dan Kampung Sungai Bongkok.
Sementara itu, kawasan terjejas di Pendang ialah Kampung Tanjung Setol dalam mukim Ayer Putih. – KOSMO! ONLINE
The post 224 mangsa banjir Kedah berlindung di PPS appeared first on Kosmo Online.






