
Kota Kinabalu: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata Sabah mempunyai kira-kira 25,000 hektar tanah yang sesuai untuk penanaman padi namun hanya sekitar 15,000 hektar ketika ini diusahakan.
“Baki 10,000 hektar tidak diusahakan disebabkan faktor seperti usia pemilik tanah serta kurang minat untuk mengusahakan sawah padi.
“Kerajaan Negeri kini bekerjasama dengan syarikat swasta untuk membangunkan estet padi mini dengan keluasan sekurang-kurangnya 300 hingga 500 ekar,” katanya kepada pemberita di Kapayan.
Beliau berkata setakat ini enam estet mini sudah diwujudkan menerusi pendekatan berkenaan sekali gus membolehkan pengurusan tanaman padi distrukturkan dengan lebih sistematik, sama seperti operasi estet komoditi lain.
Jamawi berkata Sabah menyasarkan untuk meningkatkan hasil padi kepada antara enam dan tujuh tan sehektar menerusi mekanisasi, penggunaan baja yang sesuai serta teknologi pertanian.
“Sasaran ini berdasarkan pencapaian di Tenom yang mampu menghasilkan antara lapan hingga sembilan tan sehektar.
“Hasil semasa berbeza mengikut kawasan, dengan Trusan Sapi mencatatkan kira-kira empat tan sehektar, manakala Jelapang Padi Kota Belud menghasilkan sekitar lima tan,” katanya.
Beliau berkata selain memperluaskan kawasan tanaman padi, peningkatan hasil banyak bergantung kepada penggunaan teknologi serta input pertanian yang bersesuaian.
“Usaha ini penting untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras Sabah kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.
“Situasi semasa membimbangkan sekiranya berlaku konflik geopolitik atau peperangan yang boleh menjejaskan penghantaran bekalan beras ke Sabah,” katanya.
Ketika ini, pengeluaran tempatan hanya memenuhi 19 peratus daripada keperluan beras Sabah manakala selebihnya bergantung kepada import dari Thailand, Vietnam dan India.






