250 jemaah kena solat zuhur, imam di Jelebu letak jawatan

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 4:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 250 jemaah kena solat zuhur, imam di Jelebu letak jawatan

JELEBU – Kira-kira 250 jemaah di sebuah masjid di Masjid Jamek Kuala Klawang, di sini, tidak menunaikan solat Jumaat hari ini, sebaliknya menunaikan solat zuhur susulan peletakan jawatan imam yang ‘keberatan’ membaca nama Undang Luak Jelebu yang baharu dalam khutbah Jumaat.

Sumber yang hanya ingin dikenali sebagai Omar, 50an berkata, imam berkenaan mengambil keputusan meletakkan jawatan pada Selasa lalu selepas menerima arahan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya memasukkan nama Undang Luak Jelebu yang baharu dalam khutbah.

Menurut sumber, imam berkenaan ‘keberatan’ susulan pertikaian berkaitan kedudukan berkenaan masih belum selesai serta masih dalam proses mahkamah.

“Isnin imam berkenaan mendapat hebahan dari group WhatsApp daripada JHEAINS untuk membaca nama Undang yang baharu. Imam berkenaan keberatan baca nama undang yang baharu. Jika tak baca, imam berkenaan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Jadi, imam berkenaan ambil keputusan meletakkan jawatan dan memaklumkannya kepada pegawai agama melalui WhatsApp,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Mengulas kejadian hari ini, sumber berkata, imam berkenaan hadir ke masjid sebagai jemaah biasa, namun diminta oleh bilal untuk mengimamkan solat Jumaat apabila tiba waktu khutbah kerana tiada imam yang tampil menjalankan tugas berkenaan.

“Imam berkenaan buat pengumuman minta maaf, bukan imam lagi kerana sudah meletakkan jawatan. Malah, imam juga katakan kalau ada daripada jabatan agama atau majlis agama yang hendak membaca khutbah, silakan.

“Kalau tidak ada, imam berkenaan menyatakan perlu ambil keputusan untuk solat zuhur kerana kita terhalang untuk mendirikan Jumaat dari sudut fikah,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan surat arahan JHEAINS bertarikh 26 Oktober lalu, semua khatib diwajibkan menggunakan teks khutbah yang disediakan atau diperakukan jabatan berkenaan, manakala khutbah kedua perlu mengandungi doa untuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat mengikut luak masing-masing.

Sehingga kini, tiada pengumuman rasmi JHEAINS berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post 250 jemaah kena solat zuhur, imam di Jelebu letak jawatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved