JELEBU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengambil maklum kejadian solat Jumaat yang tidak dapat dilaksanakan di Masjid Jamek Kuala Klawang di sini pada Jumaat (30 Oktober) sehingga menyebabkan jemaah terpaksa menunaikan solat Zuhur sebagai ganti.
JHEAINS menerusi kenyataan media dikeluarkan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis peletakan jawatan secara bertulis daripada imam 1 masjid berkenaan.
Sebaliknya, jabatan itu memberi tahu pihaknya hanya menerima makluman secara lisan berhubung hasrat imam tersebut untuk berbuat demikian
"Untuk makluman, individu berkenaan masih menerima elaun bagi jawatan imam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular dakwaan kira-kira 250 jemaah di masjid berkenaan tidak dapat menunaikan solat Jumaat pada hari ini.
Sebaliknya, jemaah yang hadir hanya menunaikan solat Zuhur sebagai ganti.
Ia susulan peletakan jawatan imam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bantahan terhadap arahan supaya nama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Azrin Khairi yang dikaitkan dengan kedudukan Undang Luak dibacakan dalam khutbah Jumaat.
JHEAINS turut memaklumkan, pentadbiran masjid terbabit akan diambil alih buat sementara waktu oleh JHEAINS Daerah Jelebu bagi memastikan urusan pengurusan masjid dan pelaksanaan ibadah berjalan lancar serta kepentingan jemaah terus terpelihara.
Ujarnya, pihaknya memandang serius perkara ini dan akan menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.
"Jabatan ini juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing.
"JHEAINS menegaskan bahawa segala tindakan pentadbiran dilaksanakan berdasarkan amanah dan ketetapan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Tegasnya, jabatan itu juga kekal berkecuali daripada kepentingan politik kepartian dan sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, integriti serta etika perkhidmatan awam.
Selain itu, JHEAINS berkata, pihaknya komited untuk menambah baik prosedur pentadbiran dan jabatan.
"Semua jawatankuasa pengurusan masjid serta surau di Negeri Sembilan diingatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa agama dan peraturan yang ditetapkan bagi memelihara keharmonian ummah.
"JHEAINS menegaskan bahawa kelancaran pelaksanaan ibadah, ketenteraman awam, pemeliharaan kesucian institusi masjid serta kepentingan jemaah sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
Tambah JHEAINS, tiada mana-mana individu, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh yang terkecuali daripada pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.






