250 Jemaah Tak Tunai Solat Jumaat, Susulan Imam Letak Jawatan Isu Nama Undang Luak Jelebu

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 5:48 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 46

Kira-kira 250 jemaah di Masjid Jamek Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan tidak dapat menunaikan solat Jumaat hari ini, sebaliknya menggantikannya dengan solat zuhur susulan tindakan imam masjid berkenaan meletakkan jawatan.

Keputusan itu dibuat berpunca daripada rasa ‘keberatan’ imam berkenaan untuk membacakan nama Undang Luak Jelebu yang baharu dalam khutbah Jumaat.

Menurut sumber yang hanya mahu dikenali sebagai Omar, 50-an, imam berkenaan telah mengambil keputusan meletakkan jawatan pada Selasa lalu selepas menerima arahan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Arahan tersebut meminta supaya nama Undang Luak Jelebu yang baharu dimasukkan ke dalam teks khutbah.

“Isnin lalu, imam berkenaan mendapat hebahan melalui kumpulan WhatsApp daripada JHEAINS untuk membaca nama Undang yang baharu. Namun, beliau keberatan untuk berbuat demikian memandangkan isu pertikaian berkaitan kedudukan berkenaan masih belum selesai dan masih dalam proses mahkamah.

Sekiranya tidak membaca nama tersebut, imam boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Disebabkan itu, beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan dan memaklumkannya kepada pegawai agama melalui WhatsApp,” katanya menerusi Kosmo!

Mengulas mengenai kejadian hari ini, Omar memberitahu bahawa imam berkenaan tetap hadir ke masjid sebagai jemaah biasa. Walau bagaimanapun, beliau telah diminta oleh bilal untuk mengimamkan solat Jumaat apabila masuk waktu kerana tiada imam lain yang tampil untuk menjalankan tugas.

“Imam berkenaan kemudiannya membuat pengumuman memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau bukan lagi imam masjid itu kerana sudah meletakkan jawatan. Beliau turut memaklumkan, sekiranya ada wakil daripada jabatan atau majlis agama yang mahu membaca khutbah, mereka dipersilakan.

Namun, jika tiada sesiapa, beliau menyatakan keputusan perlu diambil untuk menunaikan solat zuhur kerana dari sudut fikah, syarat mendirikan solat Jumaat telah terhalang,” tambahnya.

Berdasarkan surat arahan JHEAINS bertarikh 26 Oktober lalu, semua khatib diwajibkan menggunakan teks khutbah yang disediakan atau diperakukan oleh jabatan tersebut. Khutbah kedua pula diwajibkan mengandungi doa untuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat mengikut luak masing-masing.

Setakat ini, masih tiada sebarang kenyataan atau pengumuman rasmi daripada pihak JHEAINS berhubung insiden berkenaan.

Sumber: Kosmo!

Sumber: Seni Lama Melayu

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved