KEPULANGAN Formula Satu (F1) ke Malaysia diraikan dengan sambutan luar biasa apabila Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mencatat kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah litar itu.
Sebanyak 261,000 penonton direkodkan sepanjang hujung minggu perlumbaan, termasuk 103,000 yang hadir pada hari perlumbaan semalam, sekali gus menyaksikan tiket bagi acara berkenaan habis terjual.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang istimewa selepas perlumbaan Bahrain berjaya dibawa ke Malaysia dalam tempoh hanya dua bulan.
"Ia adalah hasil visi, keazaman dan pemikiran pantas Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa yang membolehkan kami menikmati gambaran sebenar perlumbaan Bahrain pada minggu ini, dan ia berjaya dilaksanakan hanya dalam tempoh dua bulan," katanya dalam satu kenyataan.
**media[3668132]**
Menurut Domenicali, kerjasama antara pasukan Bahrain dan SIC menjadi asas penting dalam merealisasikan penganjuran unik berkenaan, khususnya selepas F1 kembali ke Malaysia buat kali pertama dalam hampir sedekad.
"Pasukan beliau bekerjasama dengan pasukan SIC untuk bersama-sama menyahut cabaran ini. Kami amat dialu-alukan kembali ke Malaysia dan SIC buat kali pertama dalam hampir 10 tahun, tempoh di mana sukan ini sudah berubah dan berkembang dengan begitu banyak," katanya.
Domenicali turut memberi penghargaan kepada peminat yang memenuhi litar sepanjang hujung minggu, selain menyifatkan sokongan mereka sebagai elemen penting dalam menjayakan perlumbaan berkenaan.
**media[3668133]**
"Tanpa mereka, sukan kami tidak bermakna dan komitmen mereka ketika kami mengubah perancangan untuk melaksanakan perlumbaan ini amat hebat. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan sepanjang hayat mengenai detik yang benar-benar unik dalam sejarah F1 ini," katanya.
Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem pula menganggap jumlah kehadiran penonton yang tinggi itu sebagai pencapaian besar, mengambil kira persiapan acara dilakukan dalam tempoh yang singkat.
"Untuk melihat sambutan luar biasa daripada peminat, khususnya dengan mengambil kira tempoh singkat acara ini dianjurkan, adalah satu pencapaian yang amat besar," katanya.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan turut menggambarkan hubungan erat antara kedua-dua negara dalam memastikan GP Bahrain di Sepang berlangsung dengan lancar.
"Ia mencerminkan kekuatan kerjasama antara Bahrain dan Malaysia serta keazaman bersama untuk menjadikan GP unik ini satu kejayaan," katanya.
Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain, Sheikh Salman Isa Al Khalifa berkata, penganjuran itu turut membuka ruang untuk Bahrain memperkenalkan budaya dan layanan mesranya kepada peminat di rantau ini menerusi pentas F1.
"Kami benar-benar membawa Bahrain ke Malaysia. Platform hebat F1 memberikan kami, bersama rakan-rakan dalam pasukan Bahrain, peluang untuk mengetengahkan budaya dan layanan mesra kami kepada peminat di rantau ini di venue ikonik ini," katanya.
Sheikh Salman berkata, sambutan penonton yang melebihi 260,000 orang membuktikan acara itu mendapat penerimaan luar biasa daripada peminat di Sepang.
"Lebih 260,000 peminat hadir untuk menyaksikan acara terbesar pernah dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang dan kami amat berterima kasih kepada mereka kerana membawa semangat serta tenaga mereka," katanya.
Beliau turut mengakui penganjuran berskala besar itu tidak mungkin dapat direalisasikan dalam tempoh singkat tanpa sokongan serta kerjasama pelbagai pihak, termasuk SIC, F1, FIA, Persekutuan Permotoran Bahrain dan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).






