27 kawasan catat IPU tidak sihat, Pasir Gudang tertinggi

LocalEnvironment
14 Oct 2026 • 6:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 27 kawasan catat IPU tidak sihat, Pasir Gudang tertinggi

PETALING JAYA: Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tidak sihat setakat pukul 6 petang ini, dengan Pasir Gudang, Johor merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 183.

Berdasarkan Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Lembah Klang turut merekodkan bacaan IPU tinggi dengan Klang mencatatkan 181, diikuti Johan Setia (179) dan Cheras (171).

Di Johor, selain Pasir Gudang dan Larkin, yang merekodkan bacaan 180, beberapa kawasan lain turut terjejas termasuk Pengerang (172), Kota Tinggi (168), Batu Pahat (159), Tangkak (156), Kluang (155) dan Segamat (131).

Kualiti udara tidak sihat turut direkodkan di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan IPU 177, Bukit Rambai, Melaka (174), Putrajaya (169), Bandaraya Melaka (169), Port Dickson (168), Shah Alam (167), Batu Muda (164), Banting (164), Seremban (164), Alor Gajah (163) dan Petaling Jaya (159).

Sementara itu, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang merekodkan bacaan IPU 155, diikuti Kemaman, Terengganu (153), Temerloh, Pahang (152), manakala Paka, Terengganu mencatatkan 121 dan Rompin, Pahang (104).

Di Sarawak, kualiti udara menunjukkan pemulihan berbanding pagi tadi apabila bacaan IPU di Serian menurun kepada 99 dan Sri Aman kepada 93.

Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat langkah menangani jerebu.

NADMA berkata, JPBN perlu mengadakan mesyuarat penyelarasan berkala, melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan serta memastikan tindakan pantas agensi berkaitan bagi melindungi kesihatan rakyat, khususnya murid sekolah.

Menurut agensi itu, gesaan berkenaan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 16 September lalu.

Langkah itu turut diperkukuh menerusi perbincangan antara agensi pada 13 Oktober lalu yang melibatkan NADMA, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS). –UTUSAN

The post 27 kawasan catat IPU tidak sihat, Pasir Gudang tertinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved