
HARARE – Sekurang-kurangnya 27 orang maut, manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah lori melanggar bas mini membawa orang ramai ke persidangan agama Kristian di Zimbabwe, lapor akhbar The Sun UK.
Nahas berlaku sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) di Jalan Harare-Masvingo, kelmarin.
Pemandu lori dikatakan cuba memotong kenderaan lain dengan laju sebelum melanggar sebuah bas mini jenis Nissan Caravan, menyebabkannya terbakar, lapor media tempatan.
Imej dimuat naik di media sosial menunjukkan bas mini itu remuk, manakala bahagian dalamnya rentung.
Van tersebut dilaporkan membawa ahli-ahli Gereja Apostolik Afrika ke sebuah persidangan keagamaan sebelum kemalangan berlaku.
Pasukan kecemasan mengesahkan 23 orang maut di tempat kejadian, manakala empat lagi meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.
Polis belum mengetahui jumlah sebenar mangsa yang berada di dalam kedua-dua kenderaan tersebut. – AGENSI
The post 27 maut, lori langgar bas appeared first on Kosmo Digital.






