Lima maut nahas di Kunak, Kota Belud

27 Aug 2026 • 5:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lima maut nahas di Kunak, Kota Belud

Kota Kinabalu: Lima orang terbunuh dalam kemalangan berasingan di Kunak dan Kota Belud dalam tempoh 24 jam pada Selasa dan Rabu.

Di KUNAK, tiga maut, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 7, Jalan Kunak - Semporna, di sini petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Rejali Angong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.03 petang itu, pemandu lelaki berumur 39 tahun, penumpang wanita berumur 52 tahun, dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima penumpangnya terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak, menuju dari Kalabakan ke rumah mereka di Kg Sungai Langgas, di sini, apabila kejadian itu berlaku.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kereta itu terbabas,” katanya, Rabu.

Rejali berkata kemalangan itu juga menyebabkan seorang penumpang cedera parah dan dua lagi cedera ringan. Mereka dihantar ke Hospital Kunak dengan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi kejadian.

Ketika pasukan bomba tiba, kesemua mangsa berada di luar kenderaan itu, dan dipercayai ada yang tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

Pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 7.31 malam selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Di KOTA BELUD, seorang wanita tempatan berusia 42 tahun maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di JalanKota Belud–Tuaran, berhampiran Taman Nikmat, di sini, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Khairul Shah Peri berkata kemalangan berlaku kira-kira 11.05 pagi ketika lori dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Tuaran, manakala Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Tuaran ke Kota Belud.

“Siasatan awal mendapati kereta mangsa memasuki laluan lori sebelum melanggar bahagian tepi kanan lori berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berpusing dan menghadap ke arah Tuaran,” katanya dalam kenyataan Selasa.

Menurutnya, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang penumpang yang turut berada di dalam kereta berkenaan dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dirempuh sebuah lori selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Kota Belud-Kota Marudu (Jalan Jawi-Jawi), di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Khairul Shah Peri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.43 petang ketika lori dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Kota Marudu menuju Tuaran, manakala mangsa bersama seorang pembonceng berusia 15 tahun menaiki motosikal dari Sembirai menghala ke Jalan Kudat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian dan dalam keadaan hujan, motosikal mangsa dipercayai terbabas.

“Pembonceng yang bersama mangsa kemudian bangun dan bergerak ke bahu jalan sebelah kiri, manakala mangsa bangun sebelum berlari menuju ke laluan lori,” kata Khairul Shah.

Beliau berkata, pemandu lori itu dipercayai tidak sempat mengelak mangsa disebabkan jarak terlalu dekat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kota Belud, manakala pemandu lori dan pembonceng motosikal tidak cedera.

Pemeriksaan mendapati tiada kerosakan pada motosikal itu, sementara bampar depan lori tersebut kemek,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved