28% syarikat Malaysia alami penyusutan hasil ketika tarif dan kos perniagaan meningkat - HSBC

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 11:29 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

28% syarikat Malaysia alami penyusutan hasil ketika tarif dan kos perniagaan meningkat - HSBC Image from: 28% syarikat Malaysia alami penyusutan hasil ketika tarif dan kos perniagaan meningkat - HSBC sarah16/11/2026 - 11:29 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov - Hampir tiga daripada 10 syarikat di Malaysia mengalami penyusutan hasil ketika perniagaan berdepan tekanan tarif, ketidaktentuan perdagangan antarabangsa dan peningkatan kos operasi, menurut tinjauan terbaharu HSBC.

 

Tinjauan HSBC Global Trade Pulse Survey 2026 mendapati 28% perniagaan di Malaysia melaporkan penyusutan hasil, manakala hampir satu pertiga atau 32% menyatakan tarif dan ketidaktentuan perdagangan telah memberi kesan negatif terhadap perniagaan masing-masing.

 

Dapatan itu menunjukkan cabaran yang dihadapi syarikat tempatan ketika mereka berusaha mengekalkan prestasi perniagaan dalam persekitaran perdagangan global yang tidak menentu, selain perlu menyesuaikan operasi bagi menguruskan tekanan kos.

 

Kos pengangkutan dan bahan mentah terus menekan perniagaan

Menurut HSBC, sebanyak 80% perniagaan Malaysia menjangkakan kos operasi terus meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang, lebih tinggi berbanding purata global sebanyak 72% dan purata ASEAN sebanyak 79%.

 

Tekanan paling ketara datang daripada kos pengangkutan dan bahan mentah, masing-masing dilaporkan oleh 55% responden, diikuti kos tenaga sebanyak 53%, manakala 68% perniagaan menyatakan mereka sudah pun berdepan peningkatan kos.

 

Bagaimanapun, syarikat Malaysia dilihat semakin menyesuaikan strategi perniagaan bagi mengurangkan kesan gangguan perdagangan, dengan 88% responden menyatakan langkah yang diambil mereka setakat ini berkesan.

 

Syarikat ubah rantaian bekalan untuk lindungi aliran tunai

Tinjauan itu turut mendapati 86% perniagaan Malaysia menyatakan perubahan terhadap rantaian bekalan telah membantu memperbaiki aliran tunai dan modal kerja, mengatasi purata global sebanyak 78%, manakala 53% syarikat meningkatkan simpanan stok bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan.

 

Ketua Solusi Perdagangan Global HSBC Malaysia, Shreyas Krishna berkata, perniagaan tempatan menunjukkan pendekatan lebih berdisiplin dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan melalui perubahan yang dirancang terhadap rantaian bekalan dan pengurusan kewangan.

 

"Daripada dapatan tinjauan, ciri perniagaan di Malaysia yang menonjol ialah langkah berdisiplin yang diambil sebagai respons kepada ketidaktentuan perdagangan yang berterusan," katanya dalam kenyataan.

 

Keyakinan perdagangan kekal kukuh meskipun berdepan cabaran

Walaupun tekanan kos dan perdagangan masih berterusan, sebanyak 86% perniagaan Malaysia kekal yakin dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang, sejajar dengan purata global.

 

Pada masa sama, 72% syarikat Malaysia menyatakan kebergantungan mereka terhadap pasaran Asia Tenggara semakin meningkat, dengan Singapura dan Indonesia antara pasaran utama, mencerminkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dalam rantau ini.

 

Tinjauan HSBC yang dijalankan antara 18 September hingga 6 Oktober 2026 itu melibatkan 10,000 pemimpin kanan perniagaan di 26 pasaran, termasuk 250 responden di Malaysia, bagi menilai bagaimana syarikat menyesuaikan strategi perdagangan, pengurusan kos dan pertumbuhan dalam persekitaran ekonomi global yang berubah.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved