sarah16/11/2026 - 18:07 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Malayan Flour Mills Bhd (MFM) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 31.2% kepada RM127.2 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, berbanding RM96.9 juta setahun lalu, disokong pertumbuhan kukuh perniagaan ayam serta peningkatan keuntungan operasi tepung di Malaysia dan Vietnam.
Perniagaan ayam yang dikendalikan Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB), usaha sama milik 51% MFM, mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM53 juta berbanding RM15.7 juta sebelumnya, sekali gus meningkatkan bahagian keuntungan MFM lebih tiga kali ganda kepada RM27 juta daripada RM8 juta.
Menurut kenyataan syarikat hari ini, peningkatan itu disokong jumlah jualan ayam yang lebih tinggi melalui pasar raya, saluran runcit dan pengeluar makanan, selain margin keuntungan yang bertambah baik. Keuntungan turut mendapat manfaat daripada peningkatan nilai saksama aset biologi berbanding kerugian penilaian pada tempoh sama tahun lalu.
Perniagaan tepung turut catat pertumbuhan
Bagi tempoh sembilan bulan itu, hasil kumpulan meningkat 2% kepada RM2.42 bilion daripada RM2.37 bilion, manakala keuntungan selepas cukai segmen perdagangan tepung dan bijirin di Malaysia dan Vietnam serta makanan akuakultur meningkat 11.1% kepada RM116.9 juta daripada RM105.1 juta.
Usaha sama MFM di Indonesia, PT Bungasari Flour Mills, turut mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai kepada RM17.4 juta daripada RM4.7 juta, disokong jualan tepung lebih tinggi dan margin lebih baik. Bahagian keuntungan MFM daripada perniagaan itu meningkat kepada RM5.2 juta berbanding RM1.4 juta.
Timbalan Pengerusi Eksekutif yang juga Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata, perniagaan tepung dan ayam masing-masing menyumbang kepada prestasi lebih kukuh sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, dengan segmen ayam menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan keuntungan bersih kumpulan.
Beliau berkata, syarikat akan terus memperluas pasaran, mengoptimumkan penggunaan kapasiti kilang tepung dan meningkatkan kecekapan rangkaian pengeluaran, sambil menguruskan turun naik kos bahan mentah serta permintaan pasaran.
Keuntungan suku ketiga meningkat 16.7%
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih MFM meningkat 16.7% kepada RM41.8 juta daripada RM35.8 juta, manakala hasil bertambah 13.8% kepada RM879.4 juta berbanding RM773.1 juta pada suku sama tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, keuntungan selepas cukai DTSB melonjak kepada RM17.5 juta daripada RM3.9 juta, sekali gus meningkatkan bahagian keuntungan MFM kepada RM8.9 juta daripada RM2 juta. Bagaimanapun, usaha sama di Indonesia mencatatkan kerugian selepas cukai RM3.3 juta berbanding keuntungan RM3.4 juta setahun lalu.
Sebagai latar belakang, MFM merupakan antara pengeluar tepung terbesar di Malaysia dengan operasi di Lumut, Perak dan Pasir Gudang, Johor, selain Vietnam dan Indonesia. Kumpulan itu turut mengembangkan kapasiti pengilangan tepung anak syarikatnya, Vimaflour di Vietnam, daripada 2,000 tan kepada 2,500 tan sehari.- DagangNews.com





