sarah13/11/2026 - 18:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov - Sum Technology Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sum Technic Sdn Bhd (STS), menerima kemudahan pembiayaan patuh Syariah berjumlah RM30 juta daripada Maybank Islamic Berhad bagi menyokong pelaksanaan kontrak sedia ada dan projek baharu.
Bagaimanapun, penggunaan penuh kemudahan pembiayaan itu dijangka meningkatkan nisbah hutang kepada ekuiti kumpulan daripada 0.24 kali kepada 0.74 kali, berdasarkan kedudukan kewangan setakat 30 Jun 2026.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, STS menerima tawaran pembiayaan tersebut menerusi surat bertarikh 11 November 2026 bagi menampung keperluan modal kerja, pembelian bahan dan urusan berkaitan kontrak.
Daripada jumlah itu, RM4 juta diperuntukkan bagi kemudahan pembiayaan tunai berasaskan kontrak untuk tempoh lima tahun, manakala baki RM26 juta melibatkan kemudahan perdagangan termasuk pembiayaan invois, surat kredit dan jaminan bank.
Pembiayaan terhad kepada tiga kontrak
Sum Technology berkata, kemudahan tersebut akan membantu STS membeli barangan dan bahan daripada pembekal tempatan serta luar negara, selain menyediakan jaminan yang diperlukan untuk menyertai tender dan melaksanakan projek.
Bagaimanapun, pembiayaan itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk had maksimum tiga kontrak pada satu-satu masa dengan kelulusan Maybank Islamic. Hasil daripada kontrak yang diserahkan sebagai jaminan pembiayaan juga perlu disalurkan ke akaun kutipan bank berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada syarat pembiayaan, Sum Technology akan menyediakan jaminan korporat sebanyak RM30 juta, selain komitmen untuk menampung sebarang kekurangan pembayaran pembiayaan dan memastikan projek yang dibiayai disiapkan.
Nisbah hutang boleh meningkat kepada 0.74 kali
Berdasarkan penyata kewangan belum diaudit setakat 30 Jun 2026, nisbah hutang kepada ekuiti kumpulan berada pada 0.24 kali, tetapi boleh meningkat kepada kira-kira 0.74 kali sekiranya keseluruhan kemudahan RM30 juta digunakan.
Walaupun pembiayaan itu tidak dijangka memberikan kesan ketara serta-merta terhadap keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, kumpulan menjangkakan kemudahan tersebut dapat menyokong pendapatan masa depan melalui pelaksanaan kontrak dan aktiviti perdagangan.
Susulan kontrak baharu bernilai RM8.12 juta
Perkembangan itu menyusuli pengumuman Sum Technology pada 10 November 2026 bahawa kumpulan memperoleh empat kontrak dan tempahan kerja kejuruteraan bernilai keseluruhan RM8.12 juta di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Melaka. Bagaimanapun, syarikat tidak menyatakan sama ada kemudahan pembiayaan terbaharu itu akan digunakan khusus bagi kontrak berkenaan.
Sum Technology, yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Jun 2026, terlibat dalam kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal, pembinaan bilik bersih untuk industri berteknologi tinggi serta pembuatan sistem pengudaraan dan penyaman udara industri. - DagangNews.com




