3,229 'penagih tua'

24 Aug 2026 • 2:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 3,229 'penagih tua'
Ruslin (tengah) ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Hulu Terengganu pada Ahad.

​HULU TERENGGANU - Rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan seramai 3,229 individu berusia 60 tahun dan ke atas atau 2.5 peratus terjerat dengan masalah penyalahgunaan dadah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

​Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah tersebut bagaimanapun menunjukkan sedikit penurunan berbanding sekitar 4,311 orang yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu merangkumi individu berusia hampir 60 tahun.

​Menurutnya, kumpulan umur yang mencatatkan peratusan paling tinggi masih didominasi golongan berusia antara 31 hingga 59 tahun iaitu mewakili 71.1 peratus atau seramai 92,590 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

​"Kebanyakan daripada mereka mengambil dadah jenis sintetik, di mana data secara keseluruhannya memperlihatkan peningkatan kadar penggunaan dadah sintetik sehingga melebihi 70 peratus.

​"Di kawasan Pantai Timur, majoriti penggunaan mengarah kepada dadah sintetik, namun syabu dan jenis dadah lain masih turut digunakan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Hulu Terengganu, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Terengganu, Md Ramzi Ishak dan Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah.

​Mengulas mengenai penglibatan golongan profesional seperti juruterbang, Ruslin menegaskan bahawa AADK serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memfokuskan kepada status kerjaya profesional semata-mata kerana sesiapa sahaja boleh terdedah kepada risiko penyalahgunaan dadah, termasuk guru mahupun peguam.

​Sehubungan itu, jelas beliau, AADK bakal mengadakan pertemuan dengan pihak Malaysian Aviation Group (MAG) dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah menangani isu berkenaan dalam kalangan kakitangan penerbangan menerusi program pencegahan dan penguatkuasaan.

​"Antara langkah yang dicadangkan adalah pelaksanaan ujian air kencing secara berkala atau rawak sebagai saringan dari semasa ke semasa, yang akan dibincangkan terlebih dahulu bagi menentukan kaedah paling sesuai.

​"Selain itu, kita turut mengalu-alukan syarikat-syarikat besar dan sektor swasta untuk bekerjasama menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah bagi melatih pegawai syarikat mengendalikan ujian saringan secara dalaman," katanya.

​Tambah beliau, pendekatan secara menyeluruh amat penting memandangkan isu penyalahgunaan dadah melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan agensi kerajaan mahupun sektor swasta boleh mendapatkan sokongan penuh daripada AADK dan PDRM.

Sementara itu, Ruslin berkata, Pejabat AADK Daerah Hulu Terengganu yang selesai diubah suai kini dilengkapi kemudahan lebih menyeluruh bagi memperkasakan perkhidmatan kepada penduduk di daerah berkenaan dengan siling keseluruhan projek RM3.6 juta.

Katanya, AADK membeli empat unit bangunan kedai pada 2022 sebelum kerja pengubahsuaian dilaksanakan dan diserahkan untuk digunakan sebagai pejabat AADK daerah.

“Antara kemudahan yang disediakan ialah lokap lelaki dan wanita, bilik pemeriksaan, bilik taklimat, bilik konsultasi serta bilik saringan air kencing.

“Sebelum ini, kita tidak mempunyai kemudahan lokap khusus lelaki dan wanita di daerah ini dan apabila terdapat tangkapan membabitkan wanita, mereka perlu dihantar ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, pejabat berkenaan turut berfungsi sebagai pusat pemulihan dalam komuniti bagi membolehkan klien yang mendapat perintah mahkamah menjalani program pemulihan secara berkala.

“Dengan adanya pejabat ini, ia melengkapkan keseluruhan operasi AADK di daerah Hulu Terengganu dan membolehkan perkhidmatan kepada masyarakat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved