Terengganu mencatatkan nisbah penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia dengan kadar 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk sepanjang suku kedua 2026.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah keseluruhan penagih dan penyalah guna dadah di negeri itu bagaimanapun menunjukkan penurunan kecil sebanyak 1.33 peratus kepada 9,169 orang berbanding 9,293 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, meskipun berlaku penurunan, perkembangan tersebut tetap memberi cabaran kepada pihak berkuasa dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu dari Januari hingga Jun, sebanyak 130,000 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara berbanding 134,000 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya, menunjukkan penurunan kira-kira 4,000 kes.
“Perkara yang membimbangkan kita ialah peningkatan kadar pengambilan dadah sintetik yang melonjak sehingga melebihi 70 hingga 73 peratus berbanding sekitar 70 peratus sebelum ini, dengan penggunaan pil kuda dan syabu mencatatkan kadar tertinggi di kawasan Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan, selain Kedah serta Perlis.
“Di Terengganu, statistik suku kedua 2026 menunjukkan penggunaan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) kekal penyumbang terbesar melebihi 83 peratus (7,641 kes), manakala kes Opiat turun 9.77 peratus, Pil Psikotropik turun 80 peratus, namun kes Ganja meningkat 20.27 peratus dan kategori lain-lain seperti Ketum melonjak 90.48 peratus,” katanya.
Ruslin berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Daerah Hulu Terengganu yang diluluskan di bawah RP5 RMKe-11 bernilai RM3.46 juta, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut mengikut pecahan daerah, beliau berkata Kuala Terengganu masih merekodkan jumlah kes tertinggi dengan lebih 25 peratus atau 2,367 orang.
Sebaliknya, Hulu Terengganu mencatatkan peningkatan paling ketara sebanyak 8.78 peratus, bersamaan pertambahan 100 orang.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslin berkata Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang dijadual berlangsung pada 10 September ini turut memberi perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan ialah cadangan daripada perwakilan untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada manifesto parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Artikel lain: Dadah bernilai RM18,000 ditemui dalam lokap, tiga individu direman termasuk anggota polis
“Pada perhimpunan itu nanti kita akan buka untuk perwakilan mencadangkan perkara terbaik untuk dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dalam mendepani PRU.
“Kita akan dengar pandangan serta cadangan daripada perwakilan dan seterusnya dibawa berbincang ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.
“Saya yakin, perwakilan Pemuda banyak idea yang boleh diketengahkan dan sudah pasti kita akan pertimbangkan,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Norhaspida Yatim)




