
HULU TERENGGANU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menggalakkan lebih banyak syarikat dan agensi swasta melaksanakan saringan air kencing secara berkala atau rawak terhadap pekerja sebagai langkah awal membendung penyalahgunaan dadah di tempat kerja.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu boleh dilaksanakan menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah dengan kerjasama AADK khususnya dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah tidak menjejaskan keselamatan dan produktiviti pekerja.
Katanya, AADK turut bersedia membantu syarikat swasta melatih pegawai mereka melaksanakan saringan air kencing serta mengurus tindakan susulan terhadap pekerja yang didapati terlibat.
“Antara cadangan yang akan dibincangkan adalah pelaksanaan ujian air kencing secara berkala atau rawak sebagai langkah saringan. Sudah banyak syarikat swasta melaksanakan program ini manakala sebahagian lagi masih dalam proses untuk bekerjasama dengan AADK,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Ruslin berkata, usaha menangani penyalahgunaan dadah di tempat kerja tidak hanya tertumpu kepada golongan profesional, sebaliknya melibatkan semua lapisan pekerja.
Katanya, sesiapa sahaja termasuk juruterbang, guru, peguam dan pekerja dalam sektor lain berisiko terdedah kepada penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, beliau berkata, trend penyalahgunaan dadah sintetik yang meningkat sehingga 73 peratus turut menjadi antara perkara yang membimbangkan AADK meskipun jumlah keseluruhan kes menunjukkan penurunan.
Menurutnya, kira-kira 130,000 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 134,000 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Penggunaan dadah sintetik mencatatkan peningkatan berbanding sekitar 70 peratus sebelum ini, dengan pil kuda antara dadah sintetik yang banyak disalahgunakan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya. – UTUSAN
The post Saring air kencing pekerja swasta bendung salah guna dadah appeared first on Utusan Malaysia.




