HULU TERENGGANU - Terengganu merekodkan kadar nisbah penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk bagi tempoh suku kedua tahun 2026.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, walaupun jumlah keseluruhan kes penagih dan penyalah guna dadah di negeri berkenaan memperlihatkan sedikit penurunan sebanyak 1.33 peratus iaitu 9,169 orang berbanding 9,293 orang bagi tempoh sama tahun 2025, keadaan itu memberi cabaran kepada pihak penguatkuasa.
Menurut beliau, dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 130,000 kes kes penyalahgunaan dadah direkodkan berbanding 134,000 kes dalam tempoh sama tahun lepas iaitu menurun kira-kira 4,000 kes.
"Perkara yang membimbangkan kita ialah peningkatan kadar pengambilan dadah sintetik yang melonjak sehingga melebihi 70 hingga 73 peratus berbanding sekitar 70 peratus sebelum ini, dengan penggunaan pil kuda dan syabu mencatatkan kadar tertinggi di kawasan Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan, selain Kedah serta Perlis.
"Di Terengganu, statistik suku kedua 2026 menunjukkan penggunaan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) kekal penyumbang terbesar melebihi 83 peratus (7,641 kes), manakala kes Opiat turun 9.77 peratus, Pil Psikotropik turun 80 peratus, namun kes Ganja meningkat 20.27 peratus dan kategori lain-lain seperti Ketum melonjak 90.48 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Pengubahsuaian Pejabat AADK Daerah Hulu Terengganu yang diluluskan di bawah RP5 RMKe-11 bernilai RM3.46 juta di sini pada Isnin.
**media[3624620]**
Mengulas pecahan mengikut daerah, Ruslin memaklumkan Kuala Terengganu kekal merekodkan kes tertinggi melebihi 25 peratus (2,367 orang), manakala Hulu Terengganu mencatatkan lonjakan tertinggi sebanyak 8.78 peratus (tambahan 100 orang).
Katanya, Dungun pula merekodkan peningkatan kes sebanyak 4.09 peratus, sementara Besut mencatatkan penurunan tertinggi iaitu 10.05 peratus diikuti Setiu yang berkurang 7.46 peratus.
"Dari sudut demografi umur nasional (Januari hingga Jun), kumpulan umur 31 hingga 59 tahun kekal tertinggi iaitu 71.1 peratus atau 92,590 orang yang kebanyakannya mengambil dadah sintetik, manakala penagihan warga emas berusia 60 tahun ke atas mencatatkan 2.5 peratus atau 3,229 orang (berbanding 4,311 orang tahun lepas) termasuk individu berusia hampir 60 tahun.
"Selain itu, penyalahgunaan dadah kategori belia usia 15 hingga 30 tahun di Terengganu menunjukkan trend positif apabila turun 6.52 peratus kepada 1,978 orang," katanya lagi.




